Sunday, August 30, 2009

pahlawan Mat Salleh


Oleh Nasron Sira Rahim

British bersetuju beri kuasa kepada anak pembesar Sulu tadbir Tambunan selepas berdamai pada April 1898

PEJUANG kebangsaan Sabah, Mat Salleh dikatakan memiliki ilmu kebatinan yang tinggi sehingga menyebabkan British gagal membunuhnya walaupun beberapa kali serangan hebat termasuk menggunakan meriam, dilancar terhadap tokoh itu.

Beliau juga dikatakan memiliki ilmu kebal menerusi baju jaket yang dipakainya menyebabkan jasad pahlawan itu tidak cedera serta membolehkannya meloloskan diri ketika serbuan British dilakukan terhadap kubunya.

Selain diri tokoh pahlawan itu, cerita aneh dan ganjil turut dikaitkan dengan isterinya iaitu Dayang Bandang apabila wanita itu dikatakan tidak boleh menjejak kaki ke tanah. Dayang yang juga saudara kepada Sultan Sulu, hanya bergerak ke sesuatu tempat dengan diusung.

Nama sebenar tokoh itu adalah Datu Mohamed Salleh Datu Balu dan dilahirkan di Kampung Inanam. Bapanya seorang pembesar Sulu dan pemerintah daerah Sungai Sugut manakala ibunya seorang wanita Bajau. Beliau mewarisi jawatan bapanya sebagai pembesar Sulu di Sungai Subuk dan Labuk.

Sejarah perjuangan Mat Salleh menentang British atau Syarikat Borneo Utara British (SBUB) bermula pada 1894 apabila bangsa asing yang menduduki Sabah itu mula memperkenalkan peraturan dan syarat yang membebankan penduduk.

British memperkenalkan peraturan baru seperti pengamalan buruh paksa serta mengenakan cukai beras dan perahu. Tugas mengutip cukai pula diambil alih oleh pegawai British menyebabkan kekuasaan pembesar negeri semakin terancam.

Selain itu, kebangkitan Mat Salleh menentang British berpunca daripada semangat perjuangan jihad orang Sulu yang menentang Sepanyol di Filipina.

Babak permulaan kepada perjuangan Mat Salleh bermula apabila dua peniaga Dayak dibunuh beberapa penduduk.

Seorang kerani di Pulau Jambongan iaitu Haji Otang mengadu kepada British kononnya penduduk yang membunuh peniaga Dayak itu adalah pengikut pembesar berkenaan. Turut diadukan adalah sikap Mat Salleh yang seolah-olah menentang British apabila masih memungut cukai daripada orang belayar di Sungai Sugut walaupun tugas itu sudah diambil alih British.

Aduan itu menyebabkan British mengeluarkan arahan supaya Mat Salleh ditangkap. Mat Salleh sebaliknya tampil menyerah diri dan membela dirinya menyebabkan British terpaksa membebaskannya.

Pada 17 Ogos 1895, Mat Salleh bersama beberapa ketua tempatan dari Sugut pergi ke Buli Sim-sim berhampiran Sandakan untuk berunding dengan Gabenor Borneo Utara British, CV Creagh mengenai masalah cukai dan lesen yang diperkenalkan British selain tindakan biadap pegawai SBUB terhadap penduduk tempatan.

Bagaimanapun, Creagh ketika itu tiada di kawasan berkenaan kerana sedang melawat Teluk Darvel. Ketiadaan ketua mereka menyebabkan pegawai British bertindak biadap apabila tidak melayan kehadiran rombongan Mat Salleh menyebabkan rombongan Mat Salleh terpaksa menunggu di muara selama dua hari.

Akhirnya mereka meninggalkan kawasan itu bersama perasaan amarah dan berasa terhina dengan perlakuan dan layanan British.

Sebaik Creagh kembali, pegawai British terbabit dipercayai memfitnah kononnya Mat Salleh bersama rombongannya, datang mengancam British menyebabkan lelaki asing itu membuta tuli mengarahkan Mat Salleh ditangkap.

Satu pasukan segera dihantar untuk menangkap pahlawan itu tetapi pasukan itu gagal mengesan kedudukan Mat Salleh. Berang dengan kegagalan mereka, pasukan British bertindak membakar dan memusnahkan kampung Mat Salleh serta merampas harta bendanya.

British juga mengisytiharkan Mat Salleh sebagai orang buruan dan ganjaran 500 ringgit diberikan kepada sesiapa yang berjaya menangkapnya.

Tindakan British itu yang cuba menjadikannya sebagai ‘kambing hitam’ menyebabkan Mat Salleh tidak lagi percaya akan ketelusan British. Tanpa melakukan apa-apa angkara, British menuduhnya mendatangkan ancaman malah memusnahkan kampung dan ingin menangkap dirinya.

Bagi mempertahankan diri berserta semangat jihad untuk mengusir penjajah, Mat Salleh kemudian mengangkat senjata dan mengisytiharkan peperangan dengan bangsa asing itu.

Serangan demi serangan berterusan dilancarkan kepada British. Mat Salleh turut membina beberapa kubu di Sungai Sugut dan Labuk bagi menangani serangan balas penjajah.

Menyedari yang Mat Salleh mula melancarkan serangan bersenjata, British melancarkan gerakan besar-besaran untuk menangkap pahlawan itu. Mereka mengutuskan satu pasukan diketuai Raffles Flint untuk menangkapnya tetapi gagal.

Pada 9 Julai 1897, Mat Salleh bersama pengikutnya dari Inanam dan Mengkabang bertindak menyerang dan memusnahkan balai polis dan bangunan kerajaan di Pulau Gaya.

Serangan itu berjaya mengalahkan British serta menaikkan semangat pejuang tempatan untuk mengusir penjajah dari bumi merdeka mereka. Selepas itu, Mat Salleh dan pengikutnya berundur ke Ranau dan di sana, beliau membina kubu yang kuat bagi meneruskan penentangan terhadap British.

Menyedari Mat Salleh bersungguh-sungguh untuk mengusir mereka dari bumi Borneo, British mula merancang strategi untuk menyerang balas dan memusnahkan kubu Mat Salleh.

Seterusnya angkatan perang penjajah itu dihantar menyerang kubu Mat Salleh pada 13 Disember 1897. Peperangan sengit tercetus menggegarkan bumi Ranau pada hari itu. Serangan demi serangan bagaimanapun menyebabkan British masih belum dapat memecah masuk ke dalam kubu berkenaan.

Bagaimanapun, British akhirnya memotong bekalan air menyebabkan pengikut Mat Salleh yang terkepung di dalam kubu kehausan dan tidak bertenaga untuk menentang askar British. British kemudian menyerbu masuk dan berjaya menawan kubu berkenaan.

Dalam serangan itu, bapa Mat Salleh terbunuh tetapi Mat Salleh berjaya mengundurkan diri. Kematian ayahnya menyebabkan kemarahan dan dendam Mat Salleh terhadap British semakin membara. Beliau terus melancarkan serangan demi serangan sehingga menyebabkan semakin ramai askar British terkorban.

British pula semakin tertekan dan gentar memikirkan kekuatan dan kehebatan Mat Salleh. Kegagalan untuk menangkap tokoh pahlawan itu menyebabkan mereka semakin tidak senang duduk. Pengaruh dan maruah mereka di Sabah juga semakin tercalar.

Akhirnya, ketakutan terhadap pahlawan itu menyebabkan British mengambil keputusan untuk berdamai dengan Mat Salleh pada April 1898. Satu rundingan diadakan dan antara isi perjanjian damai itu ialah British bersetuju memberi kuasa kepada Mat Salleh untuk mentadbir Tambunan secara bebas dan mereka tidak akan mengganggu pemerintahan pahlawan itu.

Pejuang kemerdekaan ditembak di Tambunan

UMPAMA biawak yang memiliki lidah bercabang, British akhirnya tidak mematuhi perjanjian damai yang dimeterai dengan Mat Salleh. Mereka kemudian berhasrat menduduki Tambunan yang sudah diserah kepada Mat Salleh menerusi perjanjian berkenaan.

Pencabulan perjanjian itu menyebabkan Mat Salleh tidak lagi mempercayai British. Mat Salleh mempertikaikan tindakan British dan mengugut akan membebaskan Sandakan dan Labuan daripada penjajahan bangsa asing itu jika mereka ingin menyerang Tambunan.

Pada 31 Disember 1899, kubu Mat Salleh di Tambunan digempur habis-habisan oleh British yang ingin merampas dan menjajah kawasan itu.

Satu pasukan terdiri daripada 140 askar diketuai Kapten Harrington bersama sebuah meriam besar menyerang perkampungan Mat Salleh sehingga pertempuran itu berlarutan selama sebulan.

Serangan terutama menerusi ledakan meriam itu menyebabkan beberapa kampung sekitar kubu Mat Salleh di Tibaba, musnah dan berjaya ditawan bangsa asing itu.

Pada 15 Januari 1900, kubu kuat milik orang Murut Tega’as dan kubu Mat Sator iaitu penolong Mat Salleh berjaya dimusnahkan British menyebabkan saki baki pahlawan hanya tinggal kumpulan Mat Salleh bersama pengikutnya yang terdiri daripada orang Bajau serta dua kubunya saja.

Pada 31 Januari 1900, British melepaskan tembakan meriam ke arah kubu Mat Salleh tanpa henti. Serangan bertali arus itu menyebabkan Mat Salleh terbunuh apabila ditembak ketika keluar dari sebuah lubang dalam kubu pertahanannya.

Mengikut cerita, Mat Salleh mati ditembak Tambunan ketika pahlawan itu tidak memakai baju kebalnya kerana ingin mengambil air wuduk bagi persiapan untuk menunaikan solat.

Hari itu, matinya seorang pahlawan yang gigih berusaha membela bangsa dan tanah air daripada dijajah bangsa asing.

Jasanya terus dikenang sehingga kini sebagai sebahagian daripada sejarah Sabah dan beberapa tugu antaranya di Kampung Tibaba, Tambunan dibina sempena memperingati pertempuran terakhir Mat Salleh dengan British.

Muzium Sabah juga membina sebuah memorial di kampung itu yang antara lain, isi kandungan pameran di memorial itu meliputi sejarah perjuangan Mat Salleh serta peralatan yang pernah digunakan pahlawan itu seperti senjata, batu asah, gambar, ilustrasi, catatan berkaitan serta serpihan tembikar.

Walaupun perjuangannya berakhir dengan kematian, nama dan pengorbanannya terus diingati penduduk negara ini umumnya dan masyarakat Sabah khususnya, sehingga apabila ditanya siapakah pejuang kemerdekaan negara di Sabah, pasti mereka akan menjawab: “Mat Salleh.”

Sumber: Sejarah ringkas Sabah; Perjuangan Mat Salleh di Sabah; Mat Salleh pahlawan Sabah; Sejarah Malaysia; www.mzm.sabah.gov.my (laman web Muzium Sabah).

FAKTA:
Antara syarat perjanjian damai British-Mat Salleh pada 19 April 1898.
  • British berdamai dengan Mat Salleh pada April 1898. Satu rundingan diadakan dan penjajah bersetuju memberi kuasa kepada pahlawan Sabah mentadbir Tambunan.
  • Mat Salleh dan pengikutnya yang menentang British diberi pengampunan.
  • Penduduk di Sungai Inanam yang dikeluarkan dari tempat itu oleh kerajaan dibenarkan kembali selepas kekacauan di tempat itu dapat dihentikan.
  • Mat Salleh dibenar menetap di Tambunan dan lain-lain daerah di pedalaman kecuali di Sungai Sugut dan Sungai Labuk. Beliau juga diminta memberi kerjasama dan mengarahkan pengikutnya mengikut arahan dan peraturan kerajaan.
  • Mat Salleh diminta membantu kerajaan menangkap sesiapa saja yang melakukan kesalahan dan melaporkan kepada kerajaan segala pergerakan yang dilakukan olehnya.
Sumber
(nasron@bharian.com.my)
Portal 51 Tahun Kemerdekaan

http://www.kbistari.uum.edu.my

Pahlawan Dol Said

Gambar:Makam Dol Said


Oleh Nasron Sira Rahim


Pemerintah Naning susun strategi perang gerila, guna senjata tradisional untuk tumpaskan askar British ketika perang empat bulan

ADA kejadian aneh dan mistik yang diceritakan berlaku ketika tentera British cuba menjajah ibu kota Naning iaitu Taboh dengan menyerang pejuang Melayu, Dol Said serta pasukannya dalam Perang Naning Kedua 1832.

Seperti diceritakan beberapa penduduk lama kawasan itu, apabila tentera penjajah cuba mendatangkan kerosakan di muka bumi Naning (kini kawasan Alor Gajah, Melaka), penduduk tempatan diketuai Penghulu Dol Said bangkit mempertahankan tanah air mereka.

Bagaimanapun, peristiwa misteri dan ajaib adalah demi membela tanah air, penentangan terhadap segerombolan tentera British itu tidak saja disertai penduduk watan tetapi turut disertai ribuan serangga Naning iaitu serangga yang seakan-akan penyengat besar.

Pengkaji Sejarah yang juga Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali, berkata mengikut cerita penduduk tempatan, kejadian aneh itu menyebabkan tentera British kelam-kabut.

“Mungkin ia disebabkan ‘keramat’ atau sebagainya dan timbul cadangan supaya tentera British melemparkan benda najis dan kotor ke seluruh kawasan itu terlebih dulu bagi menghilangkan keramat seterusnya menghindarkan serangan berkenaan,” katanya.


Beliau berkata, selepas mengotorkan bumi Naning, barulah tentera British kembali menyerang pasukan Dol Said. Tentangan British bagaimanapun tidak semudah disangka kerana ia dibalas hebat dan sengit oleh pasukan Dol Said walaupun sekadar bersenjatakan parang, lembing dan senjata tradisional.

Akhirnya, selepas peperangan itu berlarutan selama kira-kira empat bulan, akhirnya pasukan Penghulu Naning itu tewas kepada kemampuan meriam serta senapang British dan negeri merdeka seluas kira-kira 67,000 hektar itu kemudian dijajah pada Jun 1832.

Malah, ramai tidak mengetahui yang British pernah malu besar ketika menentang Naning pada Perang Naning Pertama 1831 - maruah mereka sebagai kuasa besar dunia ketika itu, jatuh dari tempat tertinggi ke lantai paling rendah.

Sebagai kuasa besar dunia yang memiliki empayar jajahan luas, pernah menyertai dan memenangi banyak peperangan dengan kuasa besar lain termasuk menyertai Perang Dunia Pertama selain memiliki kelengkapan senjata dan meriam yang digeruni; mereka akhirnya kalah kepada negeri kecil Naning pada 1831 yang mana penyerangnya hanya menggunakan parang dan senjata tradisional.

Mengimbas perjuangan tokoh kebebasan tanah air itu, Dr Abdullah menjelaskan bahawa ia berlaku atas semangat cintakan tanah air di kalangan penduduk Naning yang diketuai pemerintahnya iaitu Dol Said atau nama sebenarnya Abdul Said. Mereka bersatu padu menentang usaha British untuk menjajah negeri mereka.

“Dol Said ketika itu adalah pemerintah Naning iaitu sebuah negeri yang berjiran dengan Melaka; walaupun jawatannya adalah penghulu atau digelar Datuk Seroja Merah mengikut adat pepatih, tetapi tarafnya menyamai raja dan sultan.

“Beliau dilahirkan pada 1773 dan berasal daripada suku Semelenggang iaitu satu daripada dua suku yang bergilir memegang jawatan Penghulu Naning, selain suku Biduanda,” katanya. Tokoh pahlawan itu dilantik sebagai Penghulu Naning kesembilan ketika berusia hanya 26 tahun.

Rentetan sejarah perjuangan penduduk Naning terhadap kuasa penjajah sudah berlangsung dalam tempoh yang lama membuktikan semangat nasionalisme anak watan sememangnya disemai generasi demi generasi.

Apabila Portugis menjajahi Melaka sekitar abad ke-16, Naning sering menyerang penjajah itu yang berkubu di negeri jiran mereka. Begitu juga apabila Belanda mengalahkan Portugis lalu mengambil alih pemerintahan Melaka pada abad ke-17, mereka turut diserang penduduk Naning.

Peperangan berdasarkan negeri jiran mereka iaitu Melaka dijajahi rakyat asing dan sebagai negeri berjiran, Naning sering diganggu kuasa asing itu.

“Seterusnya British mengadakan perjanjian bersyarat dikenali Perikatan London dengan Belanda pada 1824 iaitu British akan menyerahkan pemerintahan mereka di Bengkulu, Sumatera kepada Belanda dan Belanda menyerahkan Melaka kepada pemerintahan British,” katanya.

Sejak itu, British menguasai dan memerintah Melaka dan bermulalah kisah persengketaan dan perjuangan suci antara Dol Said dan pengikutnya dengan kuasa asing itu, demi mempertahankan tanah air merdeka mereka iaitu Naning.

“Sebelum itu pada 1801, ketika British memerintah Melaka sementara dari Belanda ketika Perang Napoleon, satu perjanjian sudah dibuat Naning yang diwakili Penghulu Dol Said dan empat ketua suku dengan British, disebabkan Naning adalah negara jiran kepada Melaka yang dikuasai British.

“Antara syarat perjanjian itu adalah Naning perlu menghantar satu persepuluh daripada hasil pertanian mereka kepada British. Sebelum ini pun Naning ada menghantar hasil pertanian mereka kepada Belanda sebagai tanda persahabatan.

“Dan apabila British memerintah, Naning bersetuju menghantar bahagian itu sebagai kelangsungan tanda persahabatan dengan Melaka (British) tetapi British pula menganggap Naning menghantar hasil itu disebabkan Naning tunduk kepada kekuasaan mereka,” katanya.

Dr Abdullah berkata, apabila Melaka dipulangkan kembali British kepada pihak Belanda di bawah Perikatan Vienna selepas Perang Napoleon pada 1818, perjanjian penghantaran hasil itu mungkin turut dimansuhkan.

Belanda memerintah Melaka selama kira-kira tujuh tahun sebelum diserahkan kepada British melalui Perikatan London 1824. Apabila British kembali memerintah, mereka ingin menguatkuasakan kembali perjanjian penghantaran hasil tahunan Naning yang sudah dimansuhkan.

Bagaimanapun, takrifan satu persepuluh daripada hasil pertanian Naning seperti dikemukakan British adalah melampau dan terlalu tinggi sehingga membebankan penduduk.

“Konflik timbul apabila British mendakwa bahawa Naning adalah sebahagian daripada Melaka dan berada di bawah pemerintahan British tetapi ia disangkal Dol Said yang menyatakan bahawa Naning adalah negeri merdeka.

“Dol Said sanggup menghantar hasil tahunan sebagai tanda persahabatan tetapi tidak mahu menghantar jika British menganggap yang negeri itu adalah sebahagian dari Melaka dan mereka mesti tunduk kepada British,” katanya.

Konflik itu berlarutan apabila Naning enggan tunduk kepada undang-undang diperkenalkan British apabila pada 1828, Dol Said menyelesaikan sendiri satu kes bunuh di Naning. Tindakan itu menyemarakkan lagi sengketa apabila British mendakwa kes bunuh itu perlu dihakimi oleh mereka di Melaka kerana Naning adalah sebahagian dari Melaka.

“Dol Said diberi amaran oleh British berhubung perkara itu sehingga membangkitkan kemarahan tokoh itu.

“Gabenor Negeri-negeri Selat (negeri-negeri selat adalah Pulau Pinang, Singapura dan Melaka yang diperintah British) iaitu Ibbetson melihat Naning sebagai jajahan Melaka yang ingkar dan menentang British menyebabkan mereka membuat keputusan untuk menyerang dan menakluki negeri itu,” katanya.

Keputusan itu menjadi pencetus kepada Perang Naning Pertama 1831. Sikap angkuh British menyebabkan mereka memandang rendah terhadap Naning dengan anggapan bahawa negeri kecil dan miskin itu mampu dikalahkan dalam tempoh sehari saja.

Lalu mereka menghantar pasukan kecil tentera iaitu seramai 150 anggota yang diketuai Kapten Wyllie untuk menyerang negeri itu pada 6 Ogos tahun itu.

“Dol Said sudah menyedari rancangan serangan British itu menyebabkan dia mengumpul penduduk Naning dan mendapatkan bantuan ketenteraan negeri jiran antaranya dari Yamtuan Ali Rembau, Pembesar Sri Menanti, Penghulu Linggi dan Datuk Kelana Sungai Ujong,” katanya.

Tanpa pengetahuan British, pasukan Naning sudah dibentuk dengan kira-kira 4,000 kekuatan tentera untuk menghadapi 150 tentera British. Bagaimanapun, British memiliki beberapa kelebihan kerana memiliki senapang dan membawa sebuah meriam manakala pasukan Dol Said sekadar bersenjatakan parang, lembing dan senjata tradisional.

Selain kekuatan anggota, Dol Said juga bijak merencanakan strategi perang apabila melancarkan serang gerila. Tentera British sentiasa diserang di kawasan hutan sejak mereka memulakan ekspedisi ke Naning.

“Pasukan gerila hutan Dol Said menggunakan taktik menanam ranjau sebagai jerangkap samar ketika tentera British melalui laluan hutan. Mereka turut menebang pokok merentangi laluan tentera British sekali gus menghalang perjalanan mereka kerana British membawa meriam menggunakan kereta lembu.

“Ketika tentera British sibuk dan leka membersihkan laluan dan mengalihkan pokok yang ditebang, pasukan Dol Said menyerang hendap mereka dan taktik serupa dilakukan berulang kali sepanjang laluan dari Melaka ke Naning,” katanya.

Beliau berkata, taktik itu nyata berkesan apabila tentera British terpaksa melarikan diri pulang ke Melaka akibat kecederaan, walaupun perjalanan mereka sudah memakan masa kira-kira 18 hari dan sudah sampai di Meleket iaitu kira-kira tujuh kilometer dari Naning. Melihat pasukan mereka pulang dengan kecederaan dan kalah teruk sebelum sempat menjejakkan kaki di Naning, pemerintah British menjadi berang dan mereka kembali mengumpul kekuatan untuk melancarkan gelombang Perang Naning Kedua 1832.

SELAIN mengumpulkan bala tentera untuk menyerang habis-habisan tentera Dol Said pada Perang Naning Kedua 1832, British turut mengeluarkan tawaran lumayan kepada sesiapa saja yang dapat menangkap Dol Said dan pengikutnya.

Tawaran itu berupa 1,000 wang Sepanyol bagi tangkapan hidup atau mati Dol Said dan 200 Sepanyol kepada pengikut tokoh itu iaitu Andika, Petah Melayu, Cik Had dan Cik Mohamad.

Pada Februari 1832, gerakan memerangi dan menawan Naning kali kedua dilancarkan British dengan kekuatan tentera antara 1,200 hingga 1,400 anggota diketuai Kolonel Herbert.

Tentangan kali ini bagaimanapun menimbulkan kesulitan pada pihak Dol Said kerana negeri jiran mereka tidak lagi mahu menghulurkan bantuan ketenteraan selepas negeri jiran itu diugut British.

Malah, ada antara negeri jiran Naning itu bertukar sokongan dengan memberi bantuan kepada British lantaran takut penjajah itu menyerang mereka pula.

Selepas bertempur sengit sehingga berlarutan selama tiga bulan, dengan kekuatan tentera terhad hanya kepada penduduk Naning selain kelemahan aspek senjata, pasukan Dol Said gagal mempertahankan tanah air mereka itu.

Pahlawan itu dan beberapa pengikutnya terpaksa berundur ke Pasir Besar dan Naning jatuh ke tangan British pada 15 Jun 1832. Setahun menyembunyikan diri, Dol Said menyerah diri kepada British.

Beliau tidak dikenakan hukuman berat oleh British melainkan jawatannya dilucutkan dan dia menjadi rakyat biasa. Negerinya diambil British dan dia hanya digantikan dengan sebuah rumah dan pencen 100 rupee sebulan oleh tentera asing itu.

Beberapa pengikutnya yang lain dihukum buang negeri ke India. Hidup sebagai rakyat kebanyakan, Dol Said meninggal dunia pada Ogos 1849 dan disemadikan di Tanah Perkuburan Taboh Naning.

Dr Abdullah mendiamkan diri seketika selepas selesai menceritakan perjuangan wira bangsa itu. Kemudian dia memandang penulis dan selepas selesai berfikir, beliau memulakan bicara:

“Inilah semangat perjuangan bangsa Melayu terdahulu, kehadiran kuasa Barat tidak kita terima dengan mudahnya dan mereka menghadapi tentangan hebat. Kemenangan dalam Perang Naning Pertama 1831 membuktikan yang semangat bersatu padu dan strategi peperangan membolehkan kita menang.

“Walaupun ketika itu kita tidak memiliki senjata hebat, kita menang kerana bersatu. Perang Naning Kedua 1832 sendiri menjadi contoh jika bangsa Melayu tidak bersatu, ditambah pula jika ada antara bangsa Melayu yang menyokong Barat, kita akan menemui kekalahan,” katanya.

Seketika Dr Abdullah kembali menjengah ruang fikir. Beliau melihat persamaan antara sikap angkuh British kononnya sebagai kuasa besar dan memandang rendah terhadap kuasa kecil Naning, sama sekali dengan kekalahan Amerika terhadap Vietnam dalam Perang Vietnam pada 1959 hingga 1975.

“Sayang sekali tiada pihak yang merekodkan peribadi dan fizikal Dol Said sekali gus menyebabkan kita kehilangan satu cebisan warisan sejarah. Mungkin ketika itu sudah ada orang Melayu yang melukis tetapi tiada lakaran wajah dan jasad Dol Said yang kita temui.

“Seorang tentera yang terbabit dalam dua perang Naning itu iaitu PJ Beg Bie menulis mengenai Perang Naning dalam bukunya The Malayan Peninsular tetapi tidak menyatakan perwatakan Dol Said,” katanya.

Beliau berkata, penulis sejarah terdahulu seperti Abdullah Munshi pula tidak menulis mengenai perwatakan pejuang itu kerana Abdullah berfikir bahawa sudah ada tulisan mengenai perang Naning, jadi beliau tidak perlu menulis lagi.

PROFIL: Dol Said
Nama sebenar: Abdul Said
Tahun lahir: 1773
Tahun kematian: 1849 (76 tahun)
Suku kaum: Semelenggang.
Asal: Naning (kini Alor Gajah, Melaka)
Sumbangan: Pemerintah Naning kesembilan, tokoh penentang British.

Sumber
(www.bharian.com.my) Portal 51 Tahun Kemerdekaan http://www.kbistari.uum.edu.my

Pahlawan Tok Janggut


Gambar: Mayat Tok Janggut selepas dihukum


Oleh Nasron Sira Rahim


INGGERIS cuba menyembunyikan cerita sebenar mengenai Tok Janggut. Lelaki tersebut dan kumpulannya dituduh penderhaka kepada sultan, bangsa dan tanah airnya iaitu Kelantan.

Perjuangan tokoh yang nama sebenarnya, Mat Hassan Panglima Munas itu cuba dinafikan, malah perkataan ‘jihad’ yang dilancarkan Tok Janggut diganti dengan perkataan ‘pemberontakan’ dan ‘penderhakaan’.

Inggeris benar-benar mahu memburukkan nama baik pejuang kebebasan itu berikutan kesan dan pengaruh Tok Janggut yang bukan kecil. Pada mereka jika tindakan Tok Janggut tidak disekat, maruah sebagai kuasa dunia dan bangsa yang ‘pintar’ akan terjejas.


Mereka mengambil keputusan membunuh Tok Janggut. Apabila tokoh yang juga ulama itu meninggal, mereka sedar ‘aura perjuangan’ Mat Hassan juga perlu dihapuskan bagi mengelakkan peristiwa itu berulang.


Seterusnya mereka melancarkan perang saraf memburukkan Tok Janggut dan pengikutnya, dengan harapan generasi mendatang menganggap lelaki itu dan kumpulannya penderhaka dan pengkhianat bangsa dan negara.


Umpama menyelimuti gajah dengan sapu tangan, usaha itu tidak berhasil kerana masyarakat masih menyanjung sumbangan Tok Janggut berserta sahabat dan pengikutnya terhadap negara.

Walaupun usahanya menentang dan mengusir penjajah dari bumi Melayu tidak kesampaian, semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air yang tertanam kukuh di jiwa tokoh itu masih kekal disanjung sehingga kini.

Kesedaran Mat Hassan terhadap agama, bangsa dan tanah air dipupuk sejak kecil. Beliau dilahirkan di Kampung Saring, daerah Jeram, Kelantan pada 1850. Berikutan ayahandanya berkhidmat sebagai panglima istana, dia turut dibesarkan dalam istana Tengku Seri Maharaja Jeram.

Beliau belajar ilmu agama di Makkah. Ketika berusia 52 tahun dan masih di Makkah, Patani dikuasai Siam. Gurunya, Syeikh Ahmad memberi amanat supaya muridnya berikhtiar membebaskan jajahan dikenali sebagai Serambi Makkah itu. Ketika itu, Inggeris mula melebarkan penjajahan ke negeri Melayu di Utara dan Timur Semenanjung selepas berjaya menguasai negeri di pantai Barat Semenanjung.

Perjanjian Bangkok yang dimeterai antara Inggeris dan Siam menyebabkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diletakkan di bawah kuasa Inggeris manakala Patani, Menara, Jalor dan Setol di bawah Siam.

Kehadiran Inggeris di Kelantan tidak direstui orang Melayu dan perubahan pentadbiran yang diperkenalkan penjajah ternyata menindas penduduk watan.

Mat Hassan pulang ke Kelantan tatkala Sultan dan pembesar Melayu di Kota Bharu tidak terdaya melawan Inggeris. Beliau menawarkan diri kepada Ungku Besar Jeram untuk menubuhkan barisan menentang penjajah itu.

Mat Hassan juga berhubung rapat dengan pejuang Melayu Pahang seperti Tok Gajah, Mat Kilau dan Datuk Bahaman.

Sentimen anti-Inggeris semakin meningkat apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama pada Ogos 1914. Kerajaan Kelantan yang berada dalam keadaan tersepit akibat perjanjian Inggeris-Kelantan 1910 dipaksa menyatakan bahawa mereka menyebelahi England dalam peperangan itu.

Keputusan Kelantan memihak kepada British dan bukan Turki Uthmaniah dalam Perang Dunia Pertama mengecewakan Tok Janggut kerana bertentangan dengan fatwa Syaikhul Islam, Khayri Effendi, yang mewajibkan umat Islam berjihad menentang British dan sekutunya.

Penindasan menerusi kutipan cukai yang tinggi menyemarakkan lagi kemarahan orang Melayu. Pada mulanya Tok Janggut dan pengikut turut membayar cukai walaupun tidak berpuas hati.

Kekacauan bermula apabila pejabat jajahan mengambil masa tiga hari untuk mengutip hasil kerana hanya ada seorang petugas hingga menyukarkan orang kampung. Berikutan itu, Mat Hassan memutuskan tidak membayar cukai dan memulakan kempen penentangan.

Disebabkan tidak sanggup menahan derita, ramai penduduk menyebelahi Tok Janggut dan kesedaran membela agama, bangsa dan tanah air itulah menjadi prolog kisah perjuangannya.

Pada 29 April 1915, Mat Hassan bermesyuarat dengan pengikutnya di rumah Tok Nik Bas di Kampung Tok Akib mengenai strategi menentang Inggeris dan memutuskan mengambil alih pemerintahan di Pasir Puteh dan mengisytiharkan jajahan itu merdeka.

Bagaimanapun mesyuarat sulit itu diketahui Pegawai Jajahan Pasir Puteh yang berasal dari Singapura iaitu Latiff, yang kemudian mengeluarkan waran kepada Ketua Balai Polis, Sarjan Che Wan Sulaiman, untuk menangkap Mat Hassan.

Sarjan Che Wan yang diiringi beberapa anggotanya bertolak ke Kampung Tok Akib pada pagi 29 April bagi memaksa Mat Hassan menyerah diri. Ketika tiba di kampung itu, Mat Hassan sedang berucap di hadapan kira-kira 1,000 penduduk yang kebanyakannya bersenjata.

Tok Janggut bersetuju mengikut polis ke pejabat jajahan untuk memberi penjelasan mengenai tindakannya. Layanan polis terhadapnya ketika itu menyebabkan timbul persengketaan. Beliau tidak setuju polis berjalan di belakangnya kerana kelihatan seolah-olah mereka mengawal tindakannya daripada melarikan diri dan mahu polis berjalan seiring atau di hadapannya.

Bagaimanapun polis tetap berkeras menyebabkan Mat Hassan menikam Sarjan Che Wan dengan kerisnya sehingga mati. Itulah permulaan peperangan antara Tok Janggut dengan Inggeris.

Tok janggut dan pengikutnya bergerak ke Pasir Puteh menyebabkan pegawai Inggeris di jajahan itu melarikan diri menggunakan bot ke Kota Bharu. Tok Janggut berjaya menawan Pasir Puteh dan menubuhkan pentadbiran sendiri dan beliau diisytihar Ketua Menteri dan Ungku Besar Jeram sebagai Raja.

Perkembangan di Pasir Puteh membimbangkan pihak istana di Kota Bharu kerana sebelum ini sultan sudah memberi jaminan bertulis kepada Inggeris akan memastikan kekacauan tidak berlaku di Kelantan.

Sejurus selepas berunding dengan Langham-Carter, Sultan Muhammad ke-IV mengarahkan Datuk Menteri Mohd Hassan Ismail dan Datuk Bentara Setia Nik Mahmud Ismail bertolak ke Pasir Puteh untuk berunding dan mereka meminta bantuan Datuk Imam Lebai Kadir.

Ungku Besar dan Tok Janggut menjelaskan kepada Datuk Imam Lebai Kadir bahawa beliau dan pengikutnya tidak berniat menderhaka tetapi bertujuan menghalau Latiff yang dianggap sebagai penindas.

Atas cadangan Penasihat British dan sokongan Datuk Bentara Setia dan Datuk Menteri, Sultan Muhammad ke-IV memutuskan menangkap Tok Janggut dan pengikutnya atas kesalahan menderhaka.

Malah, satu tawaran turut dihebahkan kepada masyarakat bahawa sesiapa yang berjaya menangkap Tok Janggut dan 21 pengikut kanannya akan menerima ganjaran.

Langham-Carter tidak yakin dengan kemampuan Sultan menghadapi kebangkitan Tok Janggut, selain mengesyaki baginda dan beberapa pembesar seperti Tengku Chik Penambang bersimpati dengan Tok Janggut.

Beliau meminta Gabenor menghantar bantuan tentera ke Kelantan dan seramai 239 askar Inggeris dihantar ke negeri itu pada 3 Mei 1915. Bagaimanapun pengikut Tok Janggut mengambil keputusan bijak dengan tidak berdepan pasukan Inggeris yang mempunyai kelengkapan senjata itu. Sebaliknya, mereka bersembunyi dan selepas seminggu, tentera Inggeris terpaksa kembali ke Singapura.

Selepas mendapat tahu kumpulan Tok Janggut akan kembali menguasai Pasir Puteh, Inggeris kembali membawa masuk tentera Sikh untuk membakar rumah penduduk kampung. Tindakan itu mencetuskan kemarahan Tok Janggut dan menyerang khemah tentera di Pasir Puteh pada jam 3 pagi, 24 Mei 1915.

Langham-Carter, Pepys, AG Maxwell dan beberapa pegawai Inggeris pula memimpin pasukan Malay State Guides memburu kumpulan Tok Janggut dan menggeledah rumah Khatib Abu Bakar di Kampung Merbol kerana mengesyakinya bersembunyi di situ.

Khatib Abu Bakar cuba menghalang askar Sikh daripada mencerobohi rumahnya dan akibatnya beliau ditikam mati.

Pasukan Tok Janggut dan tentera Inggeris bertembung di Kampung Dalam Pupoh tidak jauh dari Kampung Merbol dan dengan laungan “Allahu akbar!”, Tok Janggut dan pasukannya bertempur hebat. Bagaimanapun, Tok Janggut terbunuh bersama ramai pengikutnya.

Mayatnya kemudian diarak sekitar Pasir Puteh sebelum dibawa ke Kota Bharu dan digantung dengan kaki ke atas, kepala ke bawah di Padang Merdeka sebelum dikebumikan di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan

PROFIL

HAJI MAT HASSAN PANGLIMA MUNAS
Gelaran lain: Tok Janggut
Tahun lahir: 1850
Tempat lahir: Kampung Saring daerah Jeram, Kelantan.
Tahun kematian: 1915 (berusia 65 tahun).
Sumbangan: pejuang kebebasan Kelantan.

Rujukan
(www.bharian.com.my)
Portal 51 Merdeka http://www.kbistari.uum.edu.my

Mat Kilau


Oleh Shaarani Ismail

Pejuang Melayu Pahang didakwa meninggal dunia pada 22 Oktober 1895 dedah diri sebenar di Pulau Tawar pada 1969

PAHLAWAN terbilang Melayu, Mat Kilau tidak hanya berjuang menentang penjajah di negeri kelahirannya, Pahang malah turut sama menyemarakkan semangat perjuangan bagi menebus maruah bangsa dan agama di negeri jiran iaitu Terengganu dan Kelantan.

Anak kelahiran Kampung Masjid Pulau Tawar, Jerantut itu adalah anak kepada orang besar Pahang, Imam Rasu yang turut dikenali sebagai Tok Gajah.

Sekitar 1890-an, berlaku pemberontakan rakyat di Pahang yang marah dengan tindakan British mengambil alih tugas memungut cukai dan hasil daripada pembesar negeri yang dilantik.

Antara yang menerima akibat daripada campur tangan pentadbiran British di Pahang adalah pembesar negeri iaitu Tok Gajah dan Datuk Bahaman.

Kesan daripada itu, bermula siri pemberontakan di kalangan pembesar negeri hingga mengakibatkan mereka diburu British kerana menentang penjajah.

Rentetan daripada peristiwa itu, British mengisytiharkan perang terhadap beberapa pembesar Pahang dan mengarahkan mereka ditangkap serta dihukum.

Bagaimanapun, Mat Kilau dan beberapa pembesar lain berjaya melarikan diri dan menyebarkan semangat perjuangan menentang penjajahan di negeri jiran iaitu Kelantan dan Terengganu.

Perjuangan Mat Kilau mendapat sokongan padu daripada dua tokoh ternama kedua-dua negeri iaitu ulama terkenal Terengganu, Tokku Paloh dan Abdul Rahman Limbong serta Tok Janggut di Kelantan.

Melalui kerjasama dan sokongan padu yang diberikan, Mat Kilau yang agak mahir dengan ilmu hutan menyusup masuk ke Terengganu dan Kelantan melalui beberapa laluan khusus yang hingga ke hari ini laluannya masih tetap digunakan khususnya pencari gaharu.

Dipercayai, terdapat tiga laluan yang digunakan Mat Kilau untuk ke Terengganu dan Kelantan bagi mendapatkan sokongan penduduk di kedua-dua negeri itu.

Antaranya, laluan dari Kampung Bantal di Jerantut ke Kampung Pasir Raja di Dungun, laluan dari Jerantut ke Pasir Nering, Hulu Terengganu dan laluan dari Jerantut ke Gua Musang Kelantan.

Bagaimanapun, laluan yang kerap digunakan Mat Kilau dan pengikutnya bagi mengelakkan diri daripada British adalah laluan antara Kampung Bantal ke Kampung Pasir Raja.

Penentangan Mat Kilau yang berterusan terhadap British menyebabkan dia menjadi orang buruan yang paling dikehendaki dan dicop sebagai penderhaka oleh Inggeris menyebabkan beliau mengasingkan diri dan hidup berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat.

Pada Oktober 1895, laporan akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura, iaitu The Straits Times dan The Free Press menyatakan "Ketua Pendehaka, iaitu Datuk Bahaman ditahan pemerintahan Siam. The Free Press pula menyatakan Mat Kilau yang melawan ketika ditangkap cedera pada muka dan kepala. Kecederaannya dikatakan parah dan dia mati dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan darah yang banyak.

Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka tamatlah riwayat pahlawan Melayu itu.

Bagaimanapun, apa yang sebenarnya berlaku tidak diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa Awang Mat (Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali, Raja Ibrahim (Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain.

Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai 'penderhaka' oleh Inggeris, maka terpaksalah Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang. Sejak 1930, Mat Kilau terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam.

Pada Disember 1969, Tuhan menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim, memperkenalkan dirinya yang sebenar. Untuk mengelakkan dirinya daripada menjadi tumpuan ramai, Mat Kilau bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya.

Atas daya usaha Omar Mat Kilau, pahlawan Melayu itu dibawa ke kampung asalnya iaitu Kampung Masjid, Pulau Tawar.

Pada Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau pergi ke masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau membaca Quran dan kemudian mengisytiharkan dirinya sebagai Mat Kilau.

Pengisytiharan itu menggemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan, pada jam 10.30 pagi Khamis, 6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang, Raja Tan Sri Yahya Mohd Seh.

Setelah empat hari pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kilau meninggal dunia kerana uzur. Usianya ketika itu dipercayai 122 tahun. Dengan kematiannya itu, beliau tidak sempat menceritakan kisah perjuangannya lebih lanjut.



Rujukan
(www.bharian.com.my) Portal 51 Merdeka
http://www.kbistari.uum.edu.my

Kata-kata bestari Tun Hussein Onn

"Masa depan ekonomi negara tidak akan membawa apa-apa makna jika keselamatan tidak terjamin, keselamatan adalah teras keutuhan ekonomi dan kestabilan politik.”

Tun Hussein Onn
Perhimpunan Agung UMNO,
15 September 1978

Rujukan
Portal 51 Kemerdekaan
http://www.kbistari.uum.edu.my/merdeka/content/knowledgebase/kb_view.asp?kbid=81

kata-kata bestari Tun Dr Mahathir Mohamad

"Kekuatan kita dalam mengatasi cabaran-cabaran akan datang bukan sahaja terletak pada pengalaman kita dalam memula dan mengurus perubahan pada masa lalu, tetapi juga pada kesanggupan kita untuk melakukan lebih daripada itu pada masa hadapan.”



Tun Dr. Mahathir Mohamad


Majlis Pelancaran Kempen Teknologi Maklumat (IT),
11 Oktober 1997


Rujukan

Portal 51 Kemerdekaan

http://www.kbistari.uum.edu.my/merdeka/content/knowledgebase/kb_browse.asp?cat_browse=1&cat_id=34

Saturday, August 29, 2009

Langkah mudah untuk kajian Genealogy

Oleh Khairul Izzuan Bin Ahmad

Wujud pepatah yang menyatakan bahawa “satu tapak akan megubah hidup”, maka disini terkandung cara mudah bagi sesiapa yang ingin mengkaji susur galur mereka. Perkara mudah tersebut ialah dengan bertanyakan soalan-soalan(seperti dibawah) kepada ahli keluarga yang lebih tua seperti datuk, nenek, moyang(Jika masih ada) dan juga saudara-saudara yang lain. Dengan bertanyakan soalan-soalan ini dapat membantu para pengkaji untuk mengetahui susur galur sesebuah keluarga dan dapat merungkaikan teka-teki sejarah sesebuah keluarga itu sendiri. Antara soalan-soalan yang boleh digunakan ialah:

  1. Bertanyakan kepada mereka mengenai nama penuh termasuk apa-apa nama samaran atau nama pendek yang digunakan sewaktu masa dahulu.
  2. Bertanyakan kepada mereka mengenai tarikh lahir, tarikh perkahwinan dan lokasi setiap satu.
  3. Bertanyakan kepada mereka mengenai nama ibu bapa mereka dan juga nama datuk dan nenek mereka, juga bertanyakan mengenai nama-nama samran atau nama pendek mereka yang ada pada waktu lepas dan juga data menegenai perkahwinan, kelahiran(jika ada)
  4. Bertanyakan kepada mereka mengenai lokasi mereka membesar
  5. Bertanyakan bertanyakan lokasi rumah atau penempatan dan perpindahan dan sertakan masa.
  6. Bertanyakan kepada mereka mengenai memori yang penting yang dapat diingat oleh mereka.(sertakan dari mana cerita itu mereka dapat jika tidak alami sendiri)
  7. Bertanyakan kepada mereka mengenai jenis rumah yang didiami oleh mereka sewaktu mereka kecil.
  8. Bertanyakan kepada mereka adakah ibu bapa atau datuk nenek mereka berasal dari negeri yang lain dan cara mereka datang kenegeri ini, bila dan Bandar, wilayah atau negeri?


Rujukan
http://definitions.uslegal.com/g/genealogy/

http://www.ask.com/bar?q=benefits+of+genealogy&page=1&qsrc=2875&ab=4&u=http%3A%2F%2Fwww.articles3000.com%2FEducation%2F122376%2FGenealogy-Benefits.html

Kepentingan dan kelebihan Genealogy

oleh Khairul Izzuan Bin Ahmad

Genealogy amat penting kepada masyarakat dan juga kepada Negara, disini akan membincangkan mengenai kepentingan dan juga kelebihan Genealogy ini.

Pertama sekali, kepentingan dan juga kelebihan genealogy adalah memastikan susur galur kita dan keluarga dapat dijaga dan dipelihara. Jika dipandang dari sudut Pengurusan rekod itu sendiri, melalui genealogy para pengkaji dapat menyimpan rekod-rekod yang penting bagi kajian mereka. Rekod-rekod seperti gambar, dokumen, surat-menyurat dapat dipelihara dan dijaga untuk kajian generasi akan datang. Oleh itu, genealogy dapat membantu ahli keluarga mengenali satu sama lain dengan lebih mendalam dan juga dapat mengetahui dimana mereka berada dari semasa ke semasa.

Kedua, kepentingan dan kelebihan genealogy ialah memelihara khazanah Negara yang tidak ternilai daripada hilang begitu sahaja. Hal ini amat penting kerana melalui Genealogy, bukan sahaja dokumen-dokumen penting yang mempunyai nilai dapat dijaga dan dipelihara, tetapi fakta-fakta sejarah yang terkandung dapat diambil bagi kepentingan masyarakat dan juga untuk kepentingan Negara itu sendiri. Sebagai contoh, susur galur kesultanan melayu, dengan mengetahui susur galur, para pengkaji sejarah dapat mengetahui siapa yang mula-mula memerintah sesebuah kerajaan dan dapat menjejak dokumen-dokumen penting yang berkaitan dengan Negara. Maka, khazanah Negara dapat dipelihara dan juga dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

Ketiga, kepentingan dan kelebihan genealogy ialah menambah ilmu kepada masyarakat itu sendiri disamping ilmu sejarah untuk sesebuah keluarga tersebut. Hal ini kerana sejarah dan rekod yang diperolehi daripada kejian genealogy ini, dapat menambah fakta-fakta yang tertinggal dan yang hilang berkaitan dengan sesuatu sejarah yang penting. Maka dengan Genealogy, ilmu pengetahuan dapat ditingkatkan disamping dapat menguatkan lagi sejarah yang wujud sediakala.

Keempat dan terakhir sekali, kepentingan dan kelebihan genealogy ialah dapat membantu para pengkaji mengetahui budaya, sejarah dan kesenian sesebuah masyarakat atau bangsa. Hal ini kerana melalui kajian Genealogy ini, sesuatu budaya dapat diketahui dari mana asal usulnya dan sebab musabab muncul budaya sesuatu bangsa. Maka dengan pengetahuan dan ilmu mengenai asal usul ini, dapat membantu pengkaji lain dalam kajian yang mereka lakukan.

Sebagai kesimpulan mengenai kepentingan dan kelebihan genealogy ini, dapat disimpulkan bahawa, genealogy membnatu mensyarakat dan Negara dalam meastikan kesinambungan ketamdunan sesebuah masyarakat dan Negara disamping dapat mencambahkan ilmu pengetahuan mengenai seseuatu perkara atau peristiwa.

Genealogy merupakan perkara yang menarik

oleh Khairul Izzuan Bin Ahmad

Didalam dunia yang mencabar ini, kebanyakan kita masih lagi ragu-ragu ataupun tidak mengetahui asal usul kita. Perkara ini berlaku kerana masyarakat kita tidak merekodkan sejarah susur galur mereka, maka tidak hairanlah jika kebanyakan masyarakat kita hari ini tidak mengiktiraf rekod dalam kehidupan harian mereka, dan jugak tidak menghayati sejarah itu sendiri. Oleh yang demikian, Pihak Arkib Negara Malaysia dengan cara satu cara menyelesaikan masalah ini ialah mewujudkan kempen Arkib Keluarga bagi menyedarkan dan juga untuk menarik minat generasi muda mengenai rekod dan sejarah itu sendiri, selain untuk menarik minat mereka untuk mengunjungi arkib. Kempen yang dilakukan arkib Negara ini berkait rapat dengan Genealogy, iaitu kajian dan penyelidikan tentang sejarah susur galur keluarga dan juga sejarah.

Genealogy juga berkait rapat dengan rekod dan juga salah satu perkara yang boleh dilakukan oleh sesiapa yang didalam pengurusan rekod itu sendiri, para pelajar yang belajar mengenai rekod dan Arkib boleh menjadikan genealogy ini sebagai salah satu perkara yang menarik minat mereka dan juga masyarakat. Maka mereka juga dapat bersama mempromosikan rekod dan arkib sebagai perkara yang amat penting dalam kehidupan dan juga Negara.

Menurut ilmiah, Genealogy ini berasal dari perkataan Greek iaitu “Genea” bermaksud keturunan dan “Logo” bermaksud Pengetahuan. Maka, definisi genealogy menurut ilmiah dapat ditakrifkan sebagai “Satu kajian menentukan sejarah susur galur keluarga”. Menurut UsLegal, Genealogy dapat ditakrifkan sebagai:


“Genealogy refers to the study of the history of past and present members of a particular family, which usually includes the preparation of a "family tree" or pedigree chart, showing the past and present members of the family joined together by a series of lines that help in ascertaining their relationship to each other, and the location, documentation and recording of a family history, including stories about the personal lives of individual members of the family, sometimes even including pictures of these individuals or family groups.”


Maka Genealogy adalah amat berguna dan bermanfaat kepada masyarakat bagi mengetahui disamping dapat meningkatkan ilmu pengetahuan tentang keluarga mereka sendiri dan juga dapat merapatkan silaturrahim diantara ahli keluaraga dan juga masyarakat itu sendiri.

Monday, August 24, 2009

Kata-kata bestari Perdana Menteri Berkaitan 1 Malaysia

"Everyone of us must respect each others rights and feelings, be tolerant of each others religions, customs and habits for in diversity we can truly find real unity."

Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

Ucapan Perdana Menteri menerusi Radio Televisyen Malaysia 12 Februari 1959

Sumber
Portal Arkib Negara Malaysia
http://www.arkib.gov.my/

keratan akhbar

Usaha memulihara warisan yang tidak ternilai

Oleh SAMARIAH MD. ALI


KONGRES Majlis Arkib Antarabangsa ke-16 dan Perhimpunan Agung Majlis Arkib Antarabangsa yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mulai esok hingga 27 Julai adalah bukti pengiktirafan dunia kepada Jabatan Arkib Negara Malaysia

Pemilihan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah adalah kejayaan yang membanggakan kerana ia membuktikan Jabatan Arkib Negara khususnya dan Malaysia amnya diberi pengiktirafan dan kepercayaan oleh Majlis Arkib Antarabangsa (ICA) untuk menganjurkan satu kongres yang bertaraf antarabangsa.

Sebagai sebuah pertubuhan profesional antarabangsa dalam bidang kearkiban, ICA bertanggungjawab menyatukan semua institusi serta badan arkib seluruh dunia dalam usaha memelihara warisan arkib sedunia.

Selain itu, ICA juga bertujuan berkongsi maklumat, memantapkan profesion arkib dan meningkatkan kesedaran dan penghargaan terhadap kepentingan arkib.

ICA ditubuhkan pada tahun 1948 dan beribu pejabat di Paris. Keanggotaannya terdiri daripada institusi arkib dari sesebuah negara, badan-badan profesional serta orang perseorangan. ICA kini mempunyai keahlian yang meliputi 183 negara.

Pemilihan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah bagi kongres kali ini berhubung kait dengan penglibatan Jabatan Arkib Negara di peringkat antarabangsa. Pada tahun 1964, Jabatan Arkib Negara yang ketika itu baru mencecah usia tujuh tahun diberi kepercayaan oleh ICA untuk menubuhkan Cawangan Majlis Arkib Antarabangsa bagi Asia Tenggara. Hasilnya pada pada Julai 1968, Jabatan Arkib Negara telah berjaya mengadakan persidangan penubuhan Majlis Arkib Antarabangsa Cawangan Asia Tenggara atau Sarbica.

Sabrica adalah cawangan pertama bagi ICA dan Jabatan Arkib Negara telah dipilih sebagai urus setia Sarbica yang pertama dan ia kekal sehingga ke hari ini.

Bermula dari situ, nama Jabatan Arkib Negara di peringkat antarabangsa semakin menyerlah sehingga pada November 1982, ICA telah memilih Jabatan Arkib Negara menjadi tuan rumah bagi Persidangan Meja Bulat ke-21 Majlis Arkib Antarabangsa.

Persidangan yang pertama kali diadakan di Asia itu dihadiri oleh ketua-ketua pengarah arkib negara-negara luar dari seluruh dunia.

Ia juga diadakan bersempena dengan perayaan Jubli Perak penubuhan Arkib Negara Malaysia dan pembukaan bangunan baru Jabatan Arkib Negara Malaysia di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Sesungguhnya penglibatan aktif Jabatan Arkib Negara dalam aktiviti anjuran ICA serta keahliannya di dalam beberapa jawatankuasa profesional di bawah ICA telah mendapat perhatian.

Sumbangan Jabatan Arkib Negara di peringkat antarabangsa telah mendapat pengiktirafan dan kepercayaan daripada ICA dan ini telah menyakinkan ICA untuk memilih Kuala Lumpur sebagai penganjur dan tuan rumah kepada Kongres dan Perhimpunan Agung Majlis Arkib Antarabangsa ke-16.

Antara negara yang pernah menjadi penganjur kongres dan perhimpunan agung ICA ialah Jerman (Bonn - 1984), Perancis (Paris -1988), Kanada (Montreal - 1992), China (Beijing - 1996), Sepanyol (Seville - 2000), Austria (Vienna - 2004).

Apa yang menarik ialah jumlah penyertaan negara luar untuk kongres di Kuala Lumpur merupakan yang tertinggi (130 negara) berbanding kongres sebelum ini dan ia adalah satu kejayaan yang harus dibanggakan.

Tema Kongres kali ini ialah "Arkib, Tadbir Urus dan Pembangunan: Hala tuju Masyarakat Masa Depan" iaitu isu kontemporari yang sentiasa dibincangkan.

Sebanyak 480 kertas kerja akan dibentangkan semasa kongres tersebut di mana para profesional dalam bidang kearkiban dari dalam dan luar negara akan berbincang mengenai pelbagai isu berkaitan bidang arkib dan rekod, khususnya mengenai kepentingan pengurusan dan pemeliharaan rekod-rekod penting sejarah dan warisan negara.

Pengurusan dan pemeliharaan rekod yang baik adalah penting kerana ia adalah asas kepada akauntabiliti, ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik. Dalam dunia yang semakin mencabar serta tiada sempadan, kedaulatan sesebuah negara dan hak asasi rakyatnya amat mudah tergugat sekiranya sesebuah negara tidak menyimpan dan memelihara sejarah warisannya.

Sebuah negara yang tidak mempunyai peninggalan sejarah warisan adalah tidak ubah seperti sebuah negara yang tiada masa hadapan.

Oleh itu adalah diharapkan kongres ini akan memberi kekuatan dan pengiktirafan kepada institusi Arkib dalam menjadikannya sebagai sebuah institusi Pemegang Amanah Maklumat Strategik Negara yang berkaliber dan amat relevan pada masa kini dan akan datang.

Selain itu, Kongres ini juga boleh menjadi wadah penting bagi memasyarakatkan arkib di dalam negara. Usaha ini akan dapat membawa masyarakat Malaysia ke arah kesedaran dan kecintaan kepada pemeliharaan bahan-bahan arkib sebagai khazanah warisan negara yang tidak ternilai.

Dalam pada itu, dari segi ekonomi, penganjuran kongres ini mampu meningkatkan perkembangan ekonomi negara kerana peserta-peserta membayar yuran RM2,000 selain menanggung sendiri kos penginapan sara diri dan perjalanan. Ini bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan negara tetapi sekali gus juga menjana ekonomi negara melalui kemasukan aliran mata wang asing.

Beberapa program pertunjukan kebudayaan dan lawatan ke tempat-tempat menarik di dalam negara juga turut diadakan bagi memberi kesempatan kepada para delegasi luar negara memahami dan melihat sendiri kejayaan kebudayaan Malaysia dan kerukunan hidup masyarakatnya yang terdiri dari pelbagai kaum.

Sesungguhnya dengan penganjuran kongres ini, Malaysia bukan sahaja diberi perakuan dan pengiktirafan oleh dunia terhadap kebolehan dan kemajuannya dalam bidang kearkiban, tetapi juga berpeluang membuktikan kepada dunia luar bahawa negara ini mampu menjadi salah satu pusat persidangan antarabangsa yang idea.

Sumber
KERATAN AKHBAR : UTUSAN MALAYSIA (21/07/2008)

Saturday, August 22, 2009

Komunisme

Gerakan Komunis Di Tanah Melayu

Fahaman Komunis di Tanah Melayu bermula sejak tahun 1923. Beberapa sekolah malam telah ditubuh dan digunakan untuk menyebarkan dakyah kebangsaan Cina serta Komunisme. Di samping itu, pertubuhan-pertubuhan buruh Komunis telah juga muncul pada tahun 1926. Pada tahun tersebut, di Negeri Sembilan sahaja di mana terdapat ramai suku Hailam (suku Hailam dikatakan pendokong utama fahaman Komunis), terdapat tidak kurang sepuluh pertubuhan pekerja yang berkait rapat dengan pihak Komunis. Perkembangan seterusnya telah membawa kepada penubuhan Parti Komunis Malaya (PKM) pada April 1930 di atas arahan Pertubuhan Komunis Antarabangsa (Communist International atau Comintern) yang dipengaruhi oleh Rusia. PKM dikehendaki mendapatkan sokongan orang Melayu (terutamanya kaum petani) dan orang India. Bagaimanapun PKM merasa terdesak mendapatkan sokongan orang Cina kerana permusuhan di antara negeri China dan Jepun semakin serius di antara tahun 1931-1937. Oleh yang demikian, PKM cuba menjuarai kempen anti-Jepun di kalangan mereka dan kurang memberi perhatian kepada dasarnya untuk mendapatkan sokongan orang Melayu. Bagaimanapun PKM tetap meneruskan kegiatannya menghasut kaum pekerja di ladang-ladang getah dan di bandar-bandar dengan matlamat mewujudkan kegelisahan perindustrian. Sepanjang lewat 1930an, pemogokan berlaku di merata tempat di samping rusuhan akibat kempen anti-Jepun.

Pada masa pendudukan tentera Jepun, kedudukan PKM menjadi lebih kuat kerana permuafakatan mereka dengan pihak British untuk menentang Jepun. Ahli-ahli PKM berpeluang mendapat latihan dan kemahiran dari segi ketenteraan daripada pihak British. British menubuhkan Sekolah Latihan Khas 101 di Singapura di bawah Kolonel Spencer Chapman untuk melatih beberapa pegawai dan anggota PKM bagi menjalankan kerja-kerja sabotaj dan penentangan terhadap tentera Jepun. PKM telah menghantar empat kumpulan mengandungi 165 orang anggota dengan setiap kumpulan menjadi teras kepada pasukan gerila di Selangor, Negeri Sembilan, Johor Utara dan Johor Selatan.

PKM mula mengatur strategi dengan menubuhkan Tentera Anti-Jepun Penduduk Tanah Melayu (MPAJA). Dari empat kumpulan yang asal, tentera tersebut berkembang menjadi lapan unit dengan tiap-tiap satunya menjalankan gerakan di setiap negeri. Setiap unit ini berhubung dengan Jawatankuasa Tentera Pusat PKM. Orang-orang Cina pula sentiasa bersedia memberikan sokongan tenaga manusia, wang ringgit, makanan, bekalan dan maklumat kepada MPAJA kerana bencikan layanan kasar askar-askar Jepun. SEAC (Southeast Asia Command) yang menubuhkan Force 136 juga telah bersetuju membekalkan alat-alat senjata, wang, bekalan dan pegawai-pegawai untuk melatih orang-orang PKM menggunakan senajata-senjata baru. Sebagai balasannya, MPAJA setuju memberikan kerjasama menentang Jepun. Pada Julai 1945, sebanyak 3,500 senjata kecil, peluru dan 500 pegawai dan anggota diberikan kepada MPAJA. Latihan juga dimulakan dengan bersungguh-sungguh tetapi gerakan tidak pernah dijalankan. Jepun menyerah kalah pada 16 Ogos 1945. Dalam tempoh dua minggu di antara masa Jepun menyerah kalah dan pihak Tentera Berikat mendarat untuk menduduki semula Tanah Melayu, Bintang Tiga /MPAJA mengambil kesempatan keluar dari hutan dan merampas senjata-senjata Jepun dan Tentera Kebangsaan India. Mereka menguasai Tanah Melayu seolah-olah rejim komunis telah berkuasa sepenuhnya. Mereka menubuhkan 'Mahkamah Rakyat' dan menjatuhkan hukuman bunuh sewenang-wenangnya. Pentadbiran Tentera British (BMA) yang ditubuhkan pada 12 Disember 1945 terpaksa bertindak segera menghentikan aktiviti MPAJA dan memaksa pasukan tentera tersebut dibubarkan.

Namun begitu, semasa pemerintahan BMA, PKM tidak diharamkan. Kedudukannya yang agak bebas berbanding masa sebelum perang, menggalakkan PKM bergerak secara terbuka sebagai sebuah parti politik. Di antara tahun 1946 hingga awal 1948, PKM cuba memperkukuhkan kedudukannya dari segi politik meskipun masih memberi perhatian utama kepada pergerakan buruh. PKM cuba mempergunakan parti-parti radikal seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Malayan Democratic Union, Malayan Indian Congress (MIC), Hizbul Muslimin dan Saberkas (Kedah). PKM juga memainkan peranan penting dalam perjuangan PUTERA-AMCJA (Pusat Tenaga Rakyat – All Malaya Council of Joint Action) untuk mengagalkan gagasan politik yang diperjuangkan oleh Raja-raja Melayu-UMNO-British. Dalam pada itu, PKM juga menyebarkan dakyah dan pengaruh ideologi mereka ke dalam persatuan-persatuan sekerja, belia dan penuntut-penuntut sekolah. Mereka juga menjadi dalang dan penghasut kesatuan-kesatuan sekerja untuk melancarkan mogok hampir di seluruh negara. Sehingga 1947, lebih kurang 300 kes mogok berlaku dalam industri getah dan bijih timah.

Bagaimanapun dengan lahirnya Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948, PKM menyedari perjuangannya melalui politik akan menemui kegagalan. Apabila pucuk pimpinan PKM diambil alih oleh Chin Peng, PKM mula menukar strategi dengan melancarkan gerakan-gerakan keganasan secara terbuka. PKM menubuhkan pasukan tentera gerila yang dinamakan Tentera Anti-British Penduduk Tanah Melayu (MPABA) untuk melancarkan pemberontakan bersenjata dengan tujuan mewujudkan kawasan-kawasan bebas (liberated areas). Beberapa buah unit yang ditubuhkan mula meresap ke khemah-khemah di hutan, menjalani latihan serta memperlengkapkan diri mereka dengan senjata-senjata. Bermula Jun 1948, mereka melakukan keganasan dan pemberontakan dengan menyerang pekerja-pekerja estet dan lombong, menebas beribu-ribu batang pokok getah, merosakkan jentera lombong, membakar rumah pekerja, mengelincirkan keretapi dan membakar bas-bas. Beberapa orang kontraktor buruh di ladang getah dan lombong dibunuh termasuk pengurus-pengurus ladang bangsa Eropah. Gerakan ini dilakukan untuk melumpuh dan membinasakan ekonomi kapitalis dan sistem pertahanan British. Untuk mengawal keadaan huru-hara dan porak peranda ini, kerajaan terpaksa mengisytiharkan Darurat pada 16 Jun 1948 di Johor dan Perak. Darurat kemudian diisytiharkan bagi seluruh Persekutuan Tanah Melayu pada 12 Julai 1948. Berikutan pengisytiharan darurat tersebut, PKM diharamkan.

Manakala itu, PKM telah menubuhkan Min Yuen, pasukan bawah tanah untuk menyelusup ke dalam masyarakat dengan tugas membekalkan gerila, perubatan, makanan, wang dan maklumat serta membunuh agen-agen dan pembelot. Orang-orang Asli juga dipaksa membantu mereka. PKM kemudiannya menubuhkan Tentera Pembebasan Bangsa-bangsa Tanah Melayu (Malayan Races Liberation Army) terutamanya untuk mendapat sokongan orang-orang India dan Melayu. MRLA mempunyai 4,000 anggota dan dibahagi kepada 10 rejimen yang berpengkalan di setiap negeri. Mereka melakukan serangan hendap ke atas konvoi-konvoi bersenjata, menyerang ladang-ladang, kampung-kampung dan balai-balai polis yang terpencil serta membunuh ejen-ejen dan penyokong anti-Parti Komunis Malaya. Mereka juga memperhebatkan kempen, propaganda dan ugutan untuk menarik penyokong-penyokong ke dalam perjuangan mereka. Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi British telah dibunuh pada Oktober 1951 dalam satu serangan hendap oleh pengganas komunis.

Pembunuhan Sir Henry Gurney telah merangsang gerakan drastik dan pelipatan kali ganda kekuatan tentera di Tanah Melayu. Dalam menangani kegiatan-kegiatan kejam, ganas dan subversif PKM, beberapa langkah dan tindakan telah diambil oleh kerajaan. Pada bulan Mei 1950, Lt. Jeneral Sir Harold Briggs selaku Pengarah Gerakan memperkenal dan melaksanakan rancangan 'Kampung Baru' yang didirikan di atas tanah pemberian Sultan. Melalui Rancangan Briggs (Briggs Plan) ini, setengah juta penduduk kawasan-kawasan terpencil dikumpul dan ditempatkan di kampung-kampung baru. Rancangan ini telah berjaya memutuskan bekalan makanan, senjata dan rangkaian pengaruh di antara penduduk dengan pengganas komunis (PKM). Walaupun PKM bertindak balas secara besar-besaran, kempen Jeneral Sir Gerald Templer yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi pada tahun 1952 telah berjaya memusnahkan 2/3 kekuatan PKM. Templer telah melaksanakan kempen serampang dua mata iaitu peperangan terhadap komunis dan peperangan terhadap fahaman perkauman. Perang Saraf dilancarkan oleh Templer dari tahun 1952 hingga 1954 untuk mempengaruhi dan memenangi hati dan minda komunis dan rakyat awam secara psikologi. 20 juta risalah digugurkan dari udara bagi menyeru anggota PKM menyerah diri serta soal selidik dibuat dari rumah ke rumah untuk mendapatkan maklumat berhubung aktiviti komunis. Pada tahun 1953, operasi Kawasan Putih dan Kawasan Hitam diisytiharkan bagi memberi kesedaran kepada rakyat agar tidak bekerjasama dengan komunis serta mengekalkan kampung mereka bebas dari ancaman. Gerakan-gerakan sosial seperti lawatan pegawai-pegawai tinggi British ke hospital, pembinaan dewan orang ramai dan sebagainya telah menarik minat penduduk menyokong kerajaan.

Keganasan yang dilakukan oleh PKM juga telah mengurangkan sokongan
penduduk negara ini tambahan pula langkah-langkah kerajaan mengambil hati masyarakat Cina dengan pemberian hak taraf kerakyatan serta memupuk benih-benih semangat kenegaraan di kalangan penduduk Tanah Melayu telah menyukarkan perjuangan PKM untuk mencapai matlamatnya. Rang undang-undang Pindaan 1952 meningkatkan pemberian taraf kewarganegaraan kepada orang Cina dari 10% kepada 55%. Usaha memperkenalkan kad pengenalan diri untuk semua penduduk Tanah Melayu secara tidak langsung mengagalkan cita-cita PKM untuk menakluki Tanah Melayu. Menjelang tahun 1953, PKM telah kehilangan 7,000 ahlinya. Chin Peng bersama beberapa ketua rejimennya terpaksa berundur ke selatan Thailand.

Pada 9 September 1955, tanpa campurtangan British, kerajaan Perikatan telah menawarkan pengampunan beramai-ramai kepada anggota PKM dengan syarat PKM meletakkan senjata. Susulan dari tawaran tersebut, satu rundingan telah diadakan pada 28 dan 29 Disember 1955 di antara wakil Parti Perikatan dan wakil PKM. YTM Tunku Abdul Rahman Putra selaku Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu disertai oleh Dato' Sir Tan Cheng Lock dan Sir David Marshall bertegas bahawa PKM mesti menyerahkan senjata sebagai syarat perletakan senjata. Setiausaha Agung PKM, Chin Peng tetap tidak mahu menerima syarat tersebut. PKM juga menolak tawaran pengampunan beramai-ramai yang diberikan oleh YTM Tunku. Walaupun rundingan tersebut gagal, namun PKM mengalami kekalahan siasah bila mana kerajaan Perikatan kekal dengan pendirian untuk tidak mengiktiraf PKM sebagai sebuah parti politik serta tidak menerima fahaman komunisme di negara ini. Pada 1 September hingga 31 Disember 1957, sekali lagi tawaran penyerahan diri kali kedua kepada PKM diisytiharkan oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Setelah 12 tahun berjuang, dengan 4,338 nyawa terkorban dari kalangan pasukan keselamatan dan orang awam (1865 pasukan keselamatan dan 2473 orang awam) serta 6,711 pengganas komunis, negara akhirnya mencapai kemenangan. Chin Peng beserta 400 saki-baki pengikutnya tiada jalan lain melainkan berundur ke selatan Thailand. Pada 29 Julai 1960, YTM Tunku Abdul Rahman Putra menandatangani surat pengisytiharan tamat darurat setebal 176 muka. Darurat secara rasminya diisytiharkan tamat pada 30 Julai 1960. Ordinan Peraturan Darurat 1948 juga dimansuhkan.

Setelah darurat tamat, pasukan keselamatan meneruskan operasi-operasi susulan dengan bantuan Angkatan Tentera Diraja Thailand dan polis di sempadan Malaysia-Thailand untuk menghapuskan saki baki kumpulan PKM yang bergiat semula. Setelah 34 tahun selepas Rundingan Baling, PKM akhirnya bersetuju mengadakan perjanjian damai. Kerajaan Thai menjadi orang tengah dalam proses rundingan perdamaian yang diadakan di Hadyai, Thailand. Pada 2 Disember 1989, perjanjian damai ditandatangani oleh Malaysia dan PKM dengan PKM bersetuju meletak dan menyerahkan senjata sepenuhnya serta menamatkan ancaman mereka di Tanah Melayu.


Sumber

Portal Arkib Negara Malaysia pada 22 Ogos 2009

http://www.arkib.gov.my/jendela_arkib

Teks Ucapan Tunku Abdul Rahman Sempena Kemerdekaan

SPEECH BY THE CHIEF MINISTER AT THE PROCLAMATION OF INDEPENDENCE AT MERDEKA STADIUM, KUALA LUMPUR ON 31ST AUGUST,1957

Your Majesties, Your Royal Highnesses, Your Highnesses, Your Excellencies, People of
Persekutuan Tanah Melayu.

I am indeed proud that on this, the greatest day in Malaya's history it falls to my lot to proclaim the formal independence of this country. Today as new page is turned, and Malaya steps forward to take her rightful place as a free and independent partner in the great community of Nations-a new nation is born and though we fully realise that difficulties and problems lie ahead, we are confident that, with the blessing of God, these difficulties will be overcome and that today's events, down the avenues of history, will be our inspiration and our guide. It is therefore with a feeling of particular solemnity that we have listened to the eloquent words of His Royal Highnessl and in particular to the moving message he has conveyed from Her Majesty the Queen2. We are indeed honoored that Her Majesty should have deputed her own uncle, His Royal Highness to be with us on this occasion particularly when we remember that he is no stranger to this land: we recall too with pleasure his previous visit to Malaya and happy recollections of his stay have remained with us.

His Royal Highness has spoken in moving words of the past associations of our two countries. We in Malaya have a long history, but we do not lightly forget old relationships. For many years past our fortunes have been linked with those of Great Britain and we recall in particular the comradeship of two world wars. We remember too the products of our association; justice before the law, the legacy of an efficient public service and the highest standard of living in Asia. We shall therefore always Remember with gratitude the assistance which we have received from Great Britain down our long path to nationhood; an assistance which culminated today with the proclamation of Malaya's Independence. But the long standing friendship between our countries does not cease with independence: rather it takes on a new form. As you have heard in the gracious message from Her Majesty the Queen, Malaya will henceforward take her place in the great Commonwealth of Independent Nations whose members are found in all parts of the world, and as an equal partner in that great association. We in this country will do all in our power to promote its well-being in the interests of mankind in general and in the particular service of world peace. Thus today a new chapter opens in our relationship with Britain; our colonial status has given place to full equality but we are confident that, fortified by old associations, and linked by old memories, our ties with Britain will grow ever stronger and more durable.

British will ever find in us her best friend, and it is a soure of much gratification to my Government that British Civil Servants will continues to serve in this country to assist us in the solution of the many problems which independence will present. But while we think of the past, we look forward in faith and hope to the future; from henceforth we are masters of our destiny, and the welfare of this beloved land is our own responsibility: Let no one think we have reached the end of the road: Independence is indeed a milestone, but it is only the threshold to high endeavour-the creation of a new and sovereign State. At this solemn moment therefore I call upon you all to dedicate yourselves to the service of the new Malaya: to work and strive with hand and brain to create a new nation, inspired by the ideals of justice and liberty-a beacon of light in a disturbed and distracted world.

High confidence has been reposed in us; let us unitedly face the challenge of the years. And so with remembrance for the past, and with confidence in the future, under the providence of God, we shall succeed.


PROCLAMATION OF INDEPENDENCE
IN THE NAME OF GOD, THE COMPASSIONATE, THE MERCIFUL. PRAISE BE TO GOD,
THE LORD OF THE UNIVERSE AND MAY THE BLESSINGS AND PEACE OF GOD UPON HIS MESSENGERS

WHEREAS the time has now arrived when the people of the Persekutuan Tanah Melayu will assume the status of a free independent and sovereign nation among the nations of the World.

AND WHEREAS by an agreement styled the Federation of Malaya Agreement, 1957, between Her Majesty the Queen and Their Highness the Rulers of the Malay States it was agreed that the Malay States of lohore, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Trengganu and Perak and the former Settlements of Malacca and Penang should as from the 31st day of August, 1957, be formed into a new Federation of States by the name of Persekutuan Tanah Melayu.

AND WHEREAS it was further agreed between the parties to the said agreement that the Settlements of Malacca and Penang aforesaid should as from the said date cease to form part of
Her Majesty's dominions and that Her Majesty should cease to exercise any sovereignty over them.

AND WHEREAS it was further agreed by the parties aforesaid that the Federation of Malaya Agreement, 1948, and all other agreements subsisting between Her Majesty the Queen and Their Highness the Rulers or anyone of them immediately before the said date should be revoked as from that date and that all powers and jurisdiction of Her Majesty or of the Parliament of the United Kingdom in or in respects of the Settlements aforesaid or the Malay States or the Federation as a whole should come to an end.

AND WHEREAS effect has been given in the Federation of Malaya Agreement, 1957, by Her Majesty the Queen, Their Highnesses the Rulers, the Parliament of the United Kingdom and Legislatures of the Federation and of the Malay States.

AND WHEREAS a constitution for the Government of the Persekutuan Tanah Melayu has been established as the supreme law thereof.

AND WHEREAS by the Federal Constitution aforesaid provision is made to safeguard the rights and prerogatives of Their Highness the Rulers and the fundamental rights and liberties of the people and to provide for the peaceful and orderly advancement of the Persekutuan Tanah Melayu as a constitutional monarchy based on Parliamentary democracy.

AND WHEREAS the Federal Constitution aforesaid having been approved by an Ordinance of the Federal Legislatures, by the Enactments of the Malay States and by resolutions of the Legislatures of Malacca and Penang has come into force on the 31 st day of August, 1957, aforesaid.

Now in the name of God the Compassionate, the Merciful,

I, TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA IBNI AL-MARHUM SULTAN ABDUL HAMID HALIMSHAH, PRIME MINISTER OF THE PERSEKUTUAN TANAH MELAYU, with the concurrence and approval of Their Highnesses the Rulers of the Malay States do hereby proclaim and declare on behalf of the people of the Persekutuan Tanah Melayu that as from the thirty first day of August, nineteen hundred and fifty seven, the Persekutuan Tanah Melayu comprising the States of lohore, Pahang, Negri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Trengganu, Perak, Malacca and Penang is and with God's blessing shall be for ever a sovereign democratic and independent State founded upon the principles of liberty and justice and ever seeking the welfare and happiness of its people and the maintenance of a just peace among all nations.


Sumber

Dipetik dari Portal Arkib Negara Malaysia pada 22 Ogos 2009.

http://www.arkib.gov.my/html/themes/arkib/download/TunkuAbdulRahman/3181957UcapanTunku.pdf