Monday, August 24, 2009

keratan akhbar

Usaha memulihara warisan yang tidak ternilai

Oleh SAMARIAH MD. ALI


KONGRES Majlis Arkib Antarabangsa ke-16 dan Perhimpunan Agung Majlis Arkib Antarabangsa yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mulai esok hingga 27 Julai adalah bukti pengiktirafan dunia kepada Jabatan Arkib Negara Malaysia

Pemilihan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah adalah kejayaan yang membanggakan kerana ia membuktikan Jabatan Arkib Negara khususnya dan Malaysia amnya diberi pengiktirafan dan kepercayaan oleh Majlis Arkib Antarabangsa (ICA) untuk menganjurkan satu kongres yang bertaraf antarabangsa.

Sebagai sebuah pertubuhan profesional antarabangsa dalam bidang kearkiban, ICA bertanggungjawab menyatukan semua institusi serta badan arkib seluruh dunia dalam usaha memelihara warisan arkib sedunia.

Selain itu, ICA juga bertujuan berkongsi maklumat, memantapkan profesion arkib dan meningkatkan kesedaran dan penghargaan terhadap kepentingan arkib.

ICA ditubuhkan pada tahun 1948 dan beribu pejabat di Paris. Keanggotaannya terdiri daripada institusi arkib dari sesebuah negara, badan-badan profesional serta orang perseorangan. ICA kini mempunyai keahlian yang meliputi 183 negara.

Pemilihan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah bagi kongres kali ini berhubung kait dengan penglibatan Jabatan Arkib Negara di peringkat antarabangsa. Pada tahun 1964, Jabatan Arkib Negara yang ketika itu baru mencecah usia tujuh tahun diberi kepercayaan oleh ICA untuk menubuhkan Cawangan Majlis Arkib Antarabangsa bagi Asia Tenggara. Hasilnya pada pada Julai 1968, Jabatan Arkib Negara telah berjaya mengadakan persidangan penubuhan Majlis Arkib Antarabangsa Cawangan Asia Tenggara atau Sarbica.

Sabrica adalah cawangan pertama bagi ICA dan Jabatan Arkib Negara telah dipilih sebagai urus setia Sarbica yang pertama dan ia kekal sehingga ke hari ini.

Bermula dari situ, nama Jabatan Arkib Negara di peringkat antarabangsa semakin menyerlah sehingga pada November 1982, ICA telah memilih Jabatan Arkib Negara menjadi tuan rumah bagi Persidangan Meja Bulat ke-21 Majlis Arkib Antarabangsa.

Persidangan yang pertama kali diadakan di Asia itu dihadiri oleh ketua-ketua pengarah arkib negara-negara luar dari seluruh dunia.

Ia juga diadakan bersempena dengan perayaan Jubli Perak penubuhan Arkib Negara Malaysia dan pembukaan bangunan baru Jabatan Arkib Negara Malaysia di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Sesungguhnya penglibatan aktif Jabatan Arkib Negara dalam aktiviti anjuran ICA serta keahliannya di dalam beberapa jawatankuasa profesional di bawah ICA telah mendapat perhatian.

Sumbangan Jabatan Arkib Negara di peringkat antarabangsa telah mendapat pengiktirafan dan kepercayaan daripada ICA dan ini telah menyakinkan ICA untuk memilih Kuala Lumpur sebagai penganjur dan tuan rumah kepada Kongres dan Perhimpunan Agung Majlis Arkib Antarabangsa ke-16.

Antara negara yang pernah menjadi penganjur kongres dan perhimpunan agung ICA ialah Jerman (Bonn - 1984), Perancis (Paris -1988), Kanada (Montreal - 1992), China (Beijing - 1996), Sepanyol (Seville - 2000), Austria (Vienna - 2004).

Apa yang menarik ialah jumlah penyertaan negara luar untuk kongres di Kuala Lumpur merupakan yang tertinggi (130 negara) berbanding kongres sebelum ini dan ia adalah satu kejayaan yang harus dibanggakan.

Tema Kongres kali ini ialah "Arkib, Tadbir Urus dan Pembangunan: Hala tuju Masyarakat Masa Depan" iaitu isu kontemporari yang sentiasa dibincangkan.

Sebanyak 480 kertas kerja akan dibentangkan semasa kongres tersebut di mana para profesional dalam bidang kearkiban dari dalam dan luar negara akan berbincang mengenai pelbagai isu berkaitan bidang arkib dan rekod, khususnya mengenai kepentingan pengurusan dan pemeliharaan rekod-rekod penting sejarah dan warisan negara.

Pengurusan dan pemeliharaan rekod yang baik adalah penting kerana ia adalah asas kepada akauntabiliti, ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik. Dalam dunia yang semakin mencabar serta tiada sempadan, kedaulatan sesebuah negara dan hak asasi rakyatnya amat mudah tergugat sekiranya sesebuah negara tidak menyimpan dan memelihara sejarah warisannya.

Sebuah negara yang tidak mempunyai peninggalan sejarah warisan adalah tidak ubah seperti sebuah negara yang tiada masa hadapan.

Oleh itu adalah diharapkan kongres ini akan memberi kekuatan dan pengiktirafan kepada institusi Arkib dalam menjadikannya sebagai sebuah institusi Pemegang Amanah Maklumat Strategik Negara yang berkaliber dan amat relevan pada masa kini dan akan datang.

Selain itu, Kongres ini juga boleh menjadi wadah penting bagi memasyarakatkan arkib di dalam negara. Usaha ini akan dapat membawa masyarakat Malaysia ke arah kesedaran dan kecintaan kepada pemeliharaan bahan-bahan arkib sebagai khazanah warisan negara yang tidak ternilai.

Dalam pada itu, dari segi ekonomi, penganjuran kongres ini mampu meningkatkan perkembangan ekonomi negara kerana peserta-peserta membayar yuran RM2,000 selain menanggung sendiri kos penginapan sara diri dan perjalanan. Ini bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan negara tetapi sekali gus juga menjana ekonomi negara melalui kemasukan aliran mata wang asing.

Beberapa program pertunjukan kebudayaan dan lawatan ke tempat-tempat menarik di dalam negara juga turut diadakan bagi memberi kesempatan kepada para delegasi luar negara memahami dan melihat sendiri kejayaan kebudayaan Malaysia dan kerukunan hidup masyarakatnya yang terdiri dari pelbagai kaum.

Sesungguhnya dengan penganjuran kongres ini, Malaysia bukan sahaja diberi perakuan dan pengiktirafan oleh dunia terhadap kebolehan dan kemajuannya dalam bidang kearkiban, tetapi juga berpeluang membuktikan kepada dunia luar bahawa negara ini mampu menjadi salah satu pusat persidangan antarabangsa yang idea.

Sumber
KERATAN AKHBAR : UTUSAN MALAYSIA (21/07/2008)

No comments:

Post a Comment