Tuesday, August 18, 2009

keratan Akhbar

ARKIB : 04/12/2007


Arkib Negara simpan khazanah tidak ternilai

Oleh: NORLIZAH ABAS


ARKIB Negara kini menghimpun koleksi lebih 90 ribu keping surat persendirian pelbagai individu termasuk dari luar negara untuk dijadikan bahan rujukan terhadap sejarah pembangunan negara.

Surat-surat itu diperoleh melalui pembelian atau diserahkan sendiri oleh penyimpan atau pewarisnya.

Antara koleksi berharga itu merupakan milik pegawai-pegawai tadbir British seperti Sir Stamford Raffles dan Sir Frank Sweettenham.

Koleksi surat persendirian milik Raffles di antara tahun 1808 hingga 1814 diperoleh dalam bentuk mikrofilem, antara lain menceritakan ekspedisinya ke Tanah Jawa dan pertukaran hadiah dari raja-raja Melayu dan pembesar Tanah Jawa.

Surat persendirian kepunyaan Sweettenham dari tahun 1872 dan ia mengenai terjemahan puisi Melayu lama dan sejarah pentadbiran politik Negeri-Negeri Selat.

Ketua Pengarah Arkib Negara, Sidek Jamil berkata, pegawai-pegawai penjajah mempunyai catatan persendirian atau diari yang lengkap sebagai bahan sejarah kerana mereka merakam pengalaman ketika berada di negara ini.

Selain surat persendirian, badan tersebut menyimpan 1,168,614 keping fail Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan badan-badan berkanun.

Koleksi Arkib Negara juga termasuk 45,062 keping gambar-gambar bersejarah, pita rakaman (3,163 keping), mikrofilem (10,997 torak), carta (195,655 keping), peta (6,337 keping) dan suratkhabar serta majalah sebanyak 151,123 keluaran.

“Kami sedang berusaha menjejaki catatan pengembara-pengembara yang pernah singgah ke negara ini yang kebanyakannya masih tersimpan di perpustakaan dan muzium di negara asal,’’ ujar beliau dalam satu temu bual dengan Mega di pejabatnya baru-baru ini sempena ulang tahun ke-50 Arkib Negara.

Sidek ditanya mengenai koleksi, perbelanjaan dan cara perolehan yang dilakukan oleh Arkib Negara untuk membawa balik khazanah bersejarah mengenai Malaysia yang masih tersimpan di luar negara.

Antara bahan lain yang berjaya diperoleh ialah buku mengenai kisah pengembaraan Francois Valentyn dalam bahasa Belanda yang ditulis pada tahun 1726.

Menurut beliau, golongan tersebut keluar mencari tanah jajahan lalu mencatatkan pengalaman masing- masing apabila singgah di sini.

“Cuma yang menjadi masalah untuk mengesan koleksi persendirian yang kecil-kecil ini kerana jumlahnya terlalu banyak,’’ ujarnya.

Sehubungan itu, Arkib Negara menggalakkan orang ramai yang menyimpan bahan-bahan bersejarah menyerahkannya kepada badan itu supaya ia dipelihara dan menjadi rujukan generasi akan datang.

Rasionalnya, ia perlu diproses dan diawet untuk memelihara keasliannya.

Koleksi peribadi itu merupakan bahan-bahan mengenai negara yang berkaitan dengan tugas mereka antaranya seperti gambar yang lengkap dengan keterangan.

Menurut Sidek, Arkib Negara memberi saguhati dalam bentuk kewangan kepada penderma yang menyerahkan sejumlah koleksi yang berkaitan dengan tugas mereka selepas ia dinilai.

Mengenai usaha pembelian dokumen-dokumen bersejarah mengenai Tanah Melayu yang disimpan di luar negara, setakat ini Arkib Negara membelanjakan RM4 juta sejak 10 tahun lalu.

Pembelian tersebut dibuat melalui mikrofilem, manakala dokumen yang bukan asli akan dibeli salinannya.

Antara rekod terawal yang dibeli ialah pada tahun 1973 iaitu Siri Rekod-Rekod Pejabat Kolonial dan Pejabat Luar Negara dalam bentuk mikrofilem dari Pejabat Rekod Awam London.

Bahan lain termasuk dokumen mengenai Tanah Melayu pada tahun 1699 yang dibeli dari Arkib Perancis.

Menurut Sidek, secara relatifnya, jumlah yang dibelanjakan untuk membeli bahan bersejarah agak kecil, tidak sampai jutaan ringgit pun dalam tempoh setahun.

“Kita belum berani membeli dokumen yang mahal, mencecah ratusan ribu sahaja setahun,’’ ujarnya.

Dokumen asli paling tua yang disimpan ialah rekod gereja Belanda iaitu daftar pernikahan dan pembaptisan penduduk di Melaka pada tahun 1641.

Signifikasinya rekod gereja tersebut membuktikan bahawa ketika itu sudah ada pentadbiran masyarakat Kristian yang membolehkan generasi hari ini menyelidik susur galur keturunan mereka.

Bahan lain termasuk salinan rekod-rekod mengenai sejarah Melaka yang sebelum ini disimpan di China, Portugal, British dan India yang sebahagiannya telah diterjemah ke bahasa Inggeris.

Antara bahan bersejarah yang disimpan termasuk manuskrip Syair Siti Zubaidah bertarikh 1892, dokumen ucapan perpisahan kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Andrew Clarke bertarikh 1875 daripada penduduk Johor, Perjanjian Penerimaan Penasihat British untuk Negeri Terengganu bertarikh 24 Mei 1919 dan Perjanjian Ekstradisi Di Antara Negeri Terengganu dan Kerajaan Siam bertarikh 29 Mei 1912.

No comments:

Post a Comment