Perlu dicontohi dunia ketiga
KUALA LUMPUR 23 Julai - Malaysia sudah melangkah jauh ke depan dalam bidang pengurusan arkib dan ia patut dicontohi oleh negara-negara dunia ketiga terutamanya di benua Afrika.
Pengarah Arkib Negara Kenya, John G. M'reria berkata, Malaysia mempunyai pengurusan arkib yang moden, teratur dan setanding dengan negara maju lain.
"Kenya mahu berkongsi kepakaran dan kemajuan Malaysia itu. Walaupun kita lihat fungsi arkib sama sahaja di seluruh dunia tetapi cara pengurusannya akan membezakan kemajuan.
"Jadi penting untuk Kenya belajar dari Malaysia mengenai perkara itu bukan sahaja aspek teknologi tetapi juga kepakaran terhadap sumber manusia yang ada," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kongres Majlis Arkib Antarabangsa ke-16 (ICA), di sini hari ini.
Katanya, negara itu akan berusaha untuk menjalinkan kerjasama dengan Malaysia dengan lebih kerap bagi mempertingkatkan kecekapan arkibnya.
"Arkib Negara Kenya tidak banyak mendapat peruntukan kewangan daripada kerajaannya dan ini merupakan masalah besar kepada kita untuk bergerak ke depan," katanya.
"Saya sendiri ada banyak perancangan namun begitu kita akan terus mencari jalan dan kongres ini adalah tempat terbaik untuk berbuat demikian," katanya.
Katanya, antara perancangan terbaru yang akan dilakukan adalah dengan memohon biasiswa yang ditawarkan Arkib Negara Malaysia kepada kakitangan arkib negara-negara membangun untuk membantu melatih mereka dalam bidang pengurusan arkib.
Beliau berkata, kali terakhir arkib negara itu mendapat bantuan tersebut daripada Malaysia adalah lima tahun lalu.
"Kita sudah banyak kali memohon selepas itu dan berharap akan mendapatnya kali ini. Saya sudah mengemukakan kertas cadangan kepada Arkib Negara (Malaysia)," katanya.
No comments:
Post a Comment