Tuesday, August 18, 2009

Keratan Akhbar

ARKIB : 24/07/2008

Arkib Negara simpan fail sepanjang 24km

KUALA LUMPUR 23 Julai - Percaya atau tidak Arkib Negara kini menyimpan sebanyak 140,543 kotak fail kerajaan Persekutuan, negeri, badan berkanun dan badan berkanun negeri yang jika disusun, panjangnya ialah sejauh 24.04 kilometer (km).

Ketua Pengarahnya, Sidek Jamil berkata, selain itu, pihaknya juga menyimpan sebanyak 8,515 kotak penerbitan kerajaan Persekutuan, negeri, badan berkanun dan badan berkanun negeri yang jika disusun, panjangnya ialah 9.1 km.

''Malah kami juga telah berjaya mendigitalkan 60,000 daripada 86,284 rekod pandang dengar sedia ada untuk kepentingan jangka panjang," katanya kepada Utusan Malaysia di Kongres Majlis Arkib Antarabangsa ke-16 (ICA), di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, selain fail dan rekod pandang dengar, Arkib Negara turut menyimpan 12 bahan seperti peta, pelan, carta, surat perjanjian dan persetujuan, rekod persendirian, surat persendirian, suratkhabar dan majalah, arkib diraja, rekod sekolah dan poster.

Sidek berkata, ketika ini pihaknya menyimpan sebanyak 7,201 keping peta, pelan (4,975), carta (195.655), surat perjanjian dan persetujuan (875), suratkhabar dan majalah (153,265 keluaran), rekod sekolah (1,869 naskhah) dan sebanyak 3,129 poster.

Sementara rekod perjanjian yang tersimpan di Arkib Negara kini mencecah panjang 258.47 meter, surat persendirian (1,212.37 meter) dan arkib diraja (28.23 meter).

Katanya, kesemua dokumen dan rekod tersebut yang disimpan itu diperolehi sejak penubuhan Arkib Negara pada tahun 1957 sehingga 31 Disember 2007.

Sidek berkata, Arkib Negara akan berusaha untuk mendigitalkan sebanyak mungkin dokumen dan rekod namun ia akan mengambil masa yang lama.

Beliau berkata, ini kerana proses tersebut memerlukan tenaga kerja dan peralatan yang terkini supaya ia dapat dilaksanakan sepenuhnya.

"Kita akan buat secara berperingkat-peringkat. Ini sebagai langkah untuk kita menuju ke arah arkib masa depan," katanya.

No comments:

Post a Comment