Tuesday, August 18, 2009

Keratan Akhbar

ARKIB : 25/07/2008

Mengubah persepsi tentang arkib

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
(WARTAWAN UTUSAN)

KEBANYAKAN masyarakat negara ini masih menganggap arkib kurang penting dan membosankan kerana ia hanya menyimpan perkara-perkara berkaitan sejarah.

Banyak perkara berkaitan sejarah disimpan di institusi arkib tetapi ia bukan sekadar menyimpan rekod mengenai peristiwa lalu.

Arkib, perkataan Greek yang bermaksud kerajaan, adalah satu institusi yang amat penting sehingga ia mampu menentukan kestabilan politik dan demokrasi sesebuah negara dan juga hubungannya dengan negara lain.

Ia merupakan gedung menyimpan segala koleksi rekod dan dokumen khususnya yang berkaitan sesebuah kerajaan dan dipelihara untuk kepentingan negara dan rakyatnya.

Fungsi arkib secara amnya menyimpan pelbagai bahan seperti surat-menyurat, gambar, fail, diari, lukisan, peta, dan nota sama ada berkaitan kerajaan, pertubuhan, atau individu.

Namun, masih ramai masyarakat kita beranggapan bahawa arkib adalah sesuatu yang membosankan kerana ia berkait rapat dengan sejarah.

Dalam hal ini, Ketua Pengarah Arkib Negara, Sidek Jamil berkata, tanggapan sedemikian sebenarnya sudah lama melekat di minda masyarakat negara ini.

Katanya, perkara itu terjadi kerana masyarakat kurang berminat terhadap arkib mahupun mengenai sejarah.

"Lebih-lebih lagi generasi muda sekarang yang kurang menghargai bidang sejarah dan institusi arkib.

"Ia juga bukanlah budaya masyarakat negara ini untuk sentiasa merekodkan sesuatu peristiwa dalam kehidupan seharian mereka.

"Tetapi masyarakat perlu sedar bahawa arkib sebenarnya lebih daripada sejarah. Ia adalah sesuatu yang hebat," katanya kepada Utusan Malaysia di Kongres Majlis Arkib Antarabangsa (ICA) ke-16.

Sidek berkata, persepsi sedemikian jika tidak diubah akan menyebabkan masyarakat lupa tentang fungsi arkib yang bukan sekadar tempat menyimpan bahan-bahan lama.

Tambahnya, ia perlu ditangani segera bagi mengelakkan sesuatu perkara buruk berlaku terutama apabila ia melibatkan kepentingan negara.

"Malah, jika kita terus menganggap arkib adalah satu perkara yang remeh, ia akan menyebabkan kita menanggung kerugian yang kadang-kala tidak boleh diubah lagi," katanya.

Contoh paling jelas yang dapat dijadikan pengajaran adalah apabila Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada negara jiran, Singapura Mei lalu.

Beliau berkata, perkara seperti itu bukan hanya akan berlaku kepada sesebuah negara, malah terhadap individu sekiranya mengambil sikap tidak peduli mengenai kepentingan rekod.

"Sesuatu rekod adalah bukti yang mampu menegakkan hak kita jadi ia bukan hanya elemen sejarah semata-mata tetapi satu bentuk insurans atau perlindungan kepada kita," katanya.

Justeru, Arkib Negara terus mengatur strategi dalam usaha mengubah persepsi negatif terhadap institusi itu dan antara langkah yang dilakukan adalah melaksanakan aktiviti yang akan menarik perhatian orang ramai terhadap arkib.

"Kita merancang pelbagai aktiviti khususnya untuk generasi kini yang mungkin mahukan sesuatu yang lebih menarik mengenai arkib," katanya.

Jelasnya, antara aktiviti itu termasuklah kempen 'Arkib Keluarga' yang akan diadakan pada tahun depan yang akan menggalakkan masyarakat untuk mengkaji salasilah keturunan mereka sebagai cara menghargai arkib.

Ia juga bertujuan untuk menjadikan arkib sesuatu yang menyeronokkan kepada masyarakat.
Katanya, Arkib Negara juga sudah mula melakukan transformasi terhadap sistem pengurusannya iaitu menyimpan bahan arkib dalam bentuk digital bagi memudahkan masyarakat mengakses rekod dan dokumen yang diperlukan.

Katanya, semua usaha tersebut mendapat sokongan kuat daripada kerajaan yang meletakkan Arkib Negara sebagai institusi penting untuk negara.

"Usaha kita tidak akan terhenti begitu sahaja. Kongres ICA ini juga merupakan satu usaha untuk mempertingkatkan keupayaan kita dalam aspek pengurusan arkib," katanya.

No comments:

Post a Comment