Saturday, August 22, 2009

Teks Ucapan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir


UCAPAN PERDANA MENTERI MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG AKTA WAKTU STANDARD MALAYSIA 1981 DI DEWAN RAKYAT PADA 21 DISEMBER, 1981

Saya mohon mencadangkan supaya satu Rang Undang-undang bernama Akta Waktu Standard
Malaysia 1981 dibacakan kali yang kedua.

Rang Undang-undang Akta ini adalah bertujuan untuk menyeragamkan waktu bagi seluruh
Malaysia mulai 1 Januari, 1982 ini

Saya percaya Ahli-Ahli Yang Berhormat tentu sudah pun faham mengenai tujuan untuk mengadakan satu waktu rasmi sahaja bagi seluruh negara. Sebagaimana Ahli-Ahli Yang Berhormat maklum kita sekarang ada dua waktu rasmi. Satu waktu rasmi bagi Semenanjung yang telah ditetapkan 7 ½ jam terdahulu dari Greenwich Mean Time (GMT) sejak tahun 1941 dahulu, dan satu lagi waktu rasmi bagi Sabah dan Sarawak yang telah ditetapkan 8 jam kehadapan GMT. Perbezaan waktu selama setengah jam ini membawa kepada perbezaan perbezaan lain, antaranya yang paling ketara ialah perselisihan waktu mula dan tamat bekerja diantara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Perselisihan dalam waktu bekerja ini telah merugikan waktu komunikasi rasmi semasa waktu pejabat selama lebih kurang 2 jam sehari diantara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Adalah menjadi hasrat Kerajaan untuk menghapuskan perbezaan yang wujud di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak walaupun pada hakikatnya kedua-dua wilayah ini dipisah oleh lautan yang besar. Namun demikian, langkah-langkah bagi merapatkan perhubungan, mewujudkan saling persefahaman serta mengeratkan lagi ikatan silaturahim diantara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak masih boleh diusahakan.Cadangan untuk menyeragamkan waktu rasmi bagi seluruh negara adalah merupakan salah satu usaha-usaha positif ke arah mencapai matlamat ini

Kerajaan telah mengkaji cadangan untuk menyeragamkan waktu rasmi bagi seluruh negara serta juga penentuan waktu yang sesuai untuk maksud· ini. Waktu rasmi Sabah dan Sarawak sekarang ini, iaitu 8 jam terdahulu daripada GMT adalah dipilih sebagai waktu standard bagi Malaysia. Ini bermakna pada 11.30 malam, 31 Disember, 1981, waktu Semenanjung akan diubah ½ jam ke hadapan menjadikannya sarna dengan puku 12.00 tengah malam mengikut waktu Sabah dan Sarawak sekarang ini. Waktu Sabah dan Sarawak telah dipilih kerana waktu ini didapati lebih dari segi penjimatan ke atas waktu siang atau "daylight saving" serta juga akibatnya keatas keselesaan dan kebiasaan kehidupan rakyat Malaysia pada keseluruhannya. Adalah disedari bahawa pemilihan waktu ini yang memerlukan Semenanjung mempercepatkan waktunya selama 1/2 jam memerlukan pembiasaan oleh rakyat dalam kehidupan mereka seharihari. Ini, saya yakin, akan dicapai dengan secepat mungkin.

Satu lagi sebab mengapa waktu Sabah dan Sarawak dipilih ialah mengikut amalan antarabangsa perbezaan waktu di antara satu zon dengan zon yang berikutnya adalah satu jam dan waktu Sabah dan Sarawak didapati menepati prinsip perbezaan itu. Sekiranya waktu Semenanjung digunakan ianya akan terkeluar dari sistem zon waktu antarabangsa iaitu cuma setengah jam perbezaan antara zon yang terdahulu dan terkemudian darinya. Selaras dengan pelaksanaan waktu standard Malaysia, waktu rasmi pejabat juga akan diseragamkan bagi seluruh negara mulai 1 Januari, 1982. Waktu rasmi pejabat mengikut waktu standard Malaysia adalah dikekalkan, iaitu bermula pada pukul 8.00 pagi dan tamat pada pukul 4.15 petang bagi negeri-negeri yang cuti minggunya hari Ahad. Bagi negeri-negeri yang cuti minggunya hari Jumaat, waktu tamat pejabat ialah jam 4.00 petang. Bagi pekerja-pekerja pejabat di Semenanjung mereka akan mula bekerja ½ jam lebih awal dari masa sekarang dan waktu rasmi tamat waktu pejabat adalah juga ½ jam lebih awal. Bagi hari Jumaat pula, waktu rehat tengah hari adalah diubah sedikit, iaitu daripada jam 12.00 tengahari hingga 2.30 petang waktu Semenanjung sekarang, kepada jam 12.15 tengahari hingga 2.45 petang waktu standard Malaysia. Ini adalah untuk memberi masa yang cukup bagi. pekerja yang beragama Islam menunaikan fardhu Jumaat. Bagi Sabah dan Sarawak waktu rehat pada hari Jumaat adalah kekal seperti diamalkan sekarang ini. Mengenai waktu sekolah, kajian yang teliti sedang dibuat supaya pelaksanaannya tidak menimbulkan akibat negatif kepada murid-murid sekolah. Jadual semua sistem pengangkutan dalam negeri akan juga diubahsuaikan selaras dengan waktu standard Malaysia mulai 1 Januari 1982 ini.

Saya suka memaklumkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat iaitu Kerajaan Singapura telah pun bersetuju untuk mengikut jejak langkah Malaysia dengan menetapkan waktu standardnya 8 jam ke hadapan GMT.

Tuan Yang di-Pertua1, saya mohon mencandangkan.


Sumber

dipetik dari Portal Arkib Negara Malaysia pada tarikh 22 Ogos 2009

http://www.arkib.gov.my/html/themes/arkib/download/MahathirMohamad/PERDANAMENTERIMEMBENTANGKAN.pdf

No comments:

Post a Comment