Saturday, November 14, 2009

Book review : Mengurus Rekod Perkhidmatan Kaunseling


Penulis : Ahmad Amin Mohamad Sulaiman, Nor Shafrin Ahmad,
Jumlah Muka surat : 190

Buku ini menerangkan tatacara dan model bagi mengurus perkhidmatan kaunseling. Bagi mengukuhkan kefahaman pembaca implikasi merekod perkhidmatan juga dijelaskan daripada pelbagai aspek.

Perkembangan masyarakat yang menghampiri status masyarakat maju membawa banyak perubahan. Tidak semua perubahan dapat diterima dengan mudah, bahkan sebahagiannya menimbulkan kegusaran dan kegelisahan baru. Kaunseling sebagai bidang yang progresif dan dinamik sentiasa berusaha menyesuaikan perkhidmatan mengikut keperluan masyarakat. Atas kesedaran inilah bilangan kaunselor ditambah dengan pesatnya supaya berupaya menampung keperluan yang semakin mendesak berbanding sedekad yang lalu.

Dengan termaktubnya akta yang mengawal perkembangan amalan kaunseling di Malaysia, kaunselor dan pengamal kaunseling yang lain perlu mempertingkatkan kualiti perkhidmatan supaya terus berdaya maju seiring dengan perkembangan tersebut. Pengurusan rekod dan dokumentasi lain tidak harus dilihat sebagai tugas sampingan tetapi sama pentingnya dengan sesi kaunseling terapeutik. Akauntabiliti dan tahap profesional seseorang kaunselor atau pengamal kaunseling tidak lagi diukur dengan maklum balas klien sahaja tetapi menerusi bukti-bukti yang boleh dijustifikasikan. Oleh yang demikian, kemahiran pengurusan rekod perlu dipertingkatkan ke tahap yang lebih tinggi.

Kesukaran yang dihadapi oleh kebanyakan kaunselor atau pengamal kaunseling di Malaysia ialah kekurangan bahan-bahan rujukan tentang pengurusan rekod dalam perkhidmatan kaunseling. Keadaan ini bukan sahaja menjadi isu tempatan bahkan sebenarnya dihadapi juga oleh rakan sejawat di seluruh dunia. Kesedaran ini mendorong kepada usaha melahirkan buku Mengurus Rekod Perkhidmatan Kaunseling supaya dapat menjadi panduan utama kepada mereka yang menceburi bidang ini.

Menerusi buku Mengurus Rekod Perkhidmatan Kaunseling, pendedahan bukan sahaja dibuat menerusi fakta dan informasi pengurusan rekod tetapi juga dilengkapi dengan tatacara, model dan penerangan yang terperinci. Topik-topik yang dibentangkan disusun mengikut turutan sebenar dalam amalan kaunseling. Bagi mengukuhkan kefahaman pembaca tentang implikasi rekod kepada perkhidmatan, perbincangan berhubung kesan dan akibat daripada pelbagai aspek termasuk perundangan digarap mengikut bab.

Persembahan sedemikian menjadikan buku ini sesuai bagi bacaan dan rujukan pelajar-pelajar pengkhususan kaunseling, kaunselor pelatih, guru bimbingan di sekolah rendah, guru kaunseling di sekolah menengah, kolej dan institusi pendidikan lain, para pendidik kaunselor, kaunselor di sektor awam dan swasta, kaunselor sukarela, pengamal kaunseling persendirian serta mereka yang berminat dengan bidang kaunseling.

Mudah-mudahan buku ini membantu usaha mewujudkan perkhidmatan kaunseling yang lebih mantap dan berkesan demi kesejahteraan masyarakat seluruhnya.

Sumber
Bookcafe http://www.bookcafe.com.my/my/pendidikan/kaunseling/mengurus-rekod-perkhidmatan-kaunseling.html

No comments:

Post a Comment