Monday, November 9, 2009

Islam dan Rekod Saling Berkaitan

Oleh Khairul Izzuan Bin Ahmad

Islam merupakan sebuah agama yang bersifat Universal dan ia amat sesuai dipraktikkan dalam segala bidang dalam kehidupan seharian. Perkataan Islam yang berasal dari bahasa Arab iaitu "Salam" yang bermaksud aman dan sejahtera. Islam yang dibawa oleh junjungan besar baginda Nabi Muhammad S.A.W mempunyai perspektif yang amat luas sekali dan ia berkait rapat dengan kehidupan manusia dari awal penciptaan manusia itu sendiri. Malahan sejarah penciptaan manusia telah pun direkodkan oleh Allah S.W.T didalam Al-Quran dengan penciptaan manusia pertama iaitu Nabi Adam A.S, maka disini dapatlah dinyatakan bahwa Rekod dan Islam itu adalah berkait rapat dan tidak boleh dipisahkan. Didalam Surah Al-'Alaq, ayat pertama diturunkan kepada junjungan besar Baginda Nabi Muhammad S.A.W menekankan kepentingan membaca iaitu "Iqra", malah Allah S.W.T juga telah menyatakan bahawa Dia (Allah S.W.T) telah mengajar manusia melalui pena, pena disini dapat ditakrifkan sebagai pen atau pensil atau apa-apa yang digunakan untuk menulis. Jika dilihat dari persepktif "Membaca" dan "Menulis" yang telah ditekankan oleh Tuhan Sekalian Alam (Allah S.W.T), kita dapat mengaitkan bahawa rekod dengan membaca dan menulis. Hal ini bermakna, dengan menulis kita dapat membaca, tujuan utama menulis adalah untuk merekod dan membaca bukan sahaja dapat menimba ilmu pengetahuan, malahan ia juga berfungsi sebagai medium untuk membuat keputusan, maka dapatlah disimpulkan bahawa Rekod dan Islam tidak boleh dipisahkan. Maka disini akan membincangkan kesinambungan rekod dan Islam itu sendiri.

Pertama sekali, rekod yang paling berharga bagi umat Islam itu sendiri ialah Al-Quran dan Hadis Rasulullah S.A.W. Didalam pengurusan rekod, dibawah subjek Penilaian (Appraisal), sesuatu rekod akan disimpan kekal disebabkan oleh rekod itu mempunyai nilai dan diantara nilai itu ialah Nilai Sejarah (Historical Value) dan Nilai Maklumat (Information Value). Jika kita merujuk kembali kepada Al-Quran itu dan kita akan menyedari bahawa Al-Quran mempunyai pelbagai fungsi dan diantara fungsinya ialah sebagai sumber Sejarah manusia dan juga ilmu pengetahuan untuk sekalian manusia didunia ini. Hal ini dapat dibuktikan dengan didalam Al-Quran telah menceritakan akan perihal bangsa-bangsa dahulu kala malahan turut diceritakan akan tamadun-tamadun yang telah wujud dahulu kala dan tidak dapat disangkal oleh fakta sejarah pada masa kini, sebagai contoh didalam Al-Quran Allah S.W.T telah menceritakan akan tamadun Mesir dan ia berkait rapat dengan Nabi Musa A.S dan Nabi Yusuf A.S, malahan didalam Al-quran juga ada menceritakan akan Kisah Nabi Ibrahim di tamadun Mesopotamia di era pemerintahan Raja Namrud. Disamping itu, Al-Quran juga sebagai sumber Maklumat kepada manusia, jika dilihat didalam Al-Quran, Allah S.W.T telah menunjukkan keAgunganNya dengan menceritakan tentang kejadian malam dan siang, pergerakan bulan, tentang rahsia penciptaan manusia dari awal bermula dengan persenyawaan sehinggalah sempurna kejadian manusia didalam rahim ibu sendiri, malahan di dalam Al-Quran juga menceritakan perihal fakta-fakta sains yang amat mengkagumkan saintis pada masa ini. Disebabkan Al-Quran mempunyai nilai-nilai yang tinggi, Al-Quran telah dipelihara dan disimpan kekal di dunia ini sehinggalah kiamat, dan hal ini telah dijamin oleh Allah S.W.T dimana Allah S.W.T telah menjamin Al-Quran tidak akan berubah isi kandungannya dan keasliannya dari awal penciptaan Al-Quran itu sehinggalah Kiamat. Jika kita melihat dari sudut rekod dan simpan kekal, Islam juga mempunyai ciri-ciri yang sama dalam kaedah penyimpanan rekod itu sendiri, dan ia dibuktikan oleh Allah S.W.T dimana Al-Quran mempunyai nilai-nilai yang tinggi dan ia disimpan kekal didunia ini sehingga kiamat, cara yang sama juga terhadap rekod-rekod lain yang penting dan bernilai iaitu antaranya mempunyai nilai sejarah dan maklumat akan disimpan kekal di Arkib Negara sendiri.

Keduannya, Hadis Junjungan besar Rasulullah Nabi Muhammad S.A.W, hadis merupakan segala perkataan yang keluar dari mulut Rasulullah S.A.W dan ia amat penting kepada umat Islam sebagai sumber kedua selepas Al-Quran. Hal ini kerana Al-Quran menceritakan hal-hal umum dan Hadis Rasululullah S.A.W bertindak sebagai penafsir terhadap Al-Quran itu sendiri, sebagai contoh, Didalam Al-Quran, Allah S.W.T mewajibkan Solat, puasa, menunaikan haji dan lain-lain lagi, di dalam Al-Quran hanya mewajibkan dan Hadis Rasulullah S.A.W bertindak sebagai penafsir dimana Rasulullah Nabi Muhammad S.A.W menafsirkan cara-cara untuk solat, puasa dan cara menunaikan haji, maka disebabkan itulah Al-Quran dan Hadis merupakan sumber paling penting bagi umat Islam. Disini akan membincangkan kaitan pengurusan rekod di era tamadun Islam dalam memelihara kesahihan Hadis itu sendiri. Menurut M.Hasbi Ash-Shiduque dalam karyannya berjudul " Sejarah Hadis dan pengaruh tokoh-tokoh utama dalam hadis" terbahagi kepada 7 zaman iaitu:

· Zaman pertama ialah semenjak dari Rasullullah Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul sehinggalah Baginda wafat.Zaman ini dinamai dengan nama “asrul wahyi wat takwin”.Ketika ini hadis-hadis nabi disampaikan melalui banyak medium,antaranya ialah majlis ilmu,pertemuan-pertemuan umum,kutbah di masjid,secara perseorang(jika seseorang sahabat malu untuk bertanya dihadapan orang ramai),melalui isteri-isteri nabi ,melalui utusan-utusan nabi yang dikirimkan ke daerah-daerah lain,dan melalui para sahabat.Ketika ini semua persoalan agama terus ditanya kepada Nabi tanpa berlakunya ijtihad dan sebagainya(kecuali jika utusan-utusan yang dihantar ke daerah-daerah yang jauh dari nabi).Dan tiada ketakutan munculnya hadis-hadis palsu kerana semua hadis boleh terus diperiksa kepada nabi.Dan ini adalah zaman yang terbaik sekali dalam islam.

· Zaman kedua ialah semenjak permulaan masa pemerintahan Abu Bakar As-sidiq sehingga berakhirnya Zaman Ali bin Abi Talib atau dari tahun 11 H sehingga tahun 40 H.Zaman ini dinamakan “Asrut tatsabbuti wal iqlali minar riwayah”.Zaman ini adalah juga dalam linkungan zaman yang terbaik,ia bertepatan dengan Hadis nabi “sebaik-baik manusia adalah kaumku kemudian selepasnya,kemudian selepasnya pula” (Hadis sahih).Dan Kepercayaan Nabi terhadap khulafak rashidin juga terbukti melalui hadis “Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak.Maka hendaklah kalian berpegang pada sunnah ku dan sunnah KHULAFA” AR_RASYIDIN yang mendapat petunjuk.Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan garaha.Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan(dalam agama) kerana setiap yang diada-adakan adalah bidaah dan bidaah adalah sesat” (HR Abu Daud dan Tirmidzi.Tirmidzi mensahihkan.Hal ini dipersetujui oleh Az-zahabi di dalam Tahqiq al-mustadarak).

· Zaman ketiga ialah zaman dari berakhirnya Zaman Khulafa’ Ar-rashidin,atau permulaan masa sehinggalah penghabisan Abad pertama hijrah.Zaman ini dinamakan dengan nama “asrul intisyarir riwayah ilal amsar”.Pada ketika ini muncullah golongan-golongan yang banyak memalsukan hadis demi kepentingan politik,mazhab dan lain-lain.Pada ketika ini jugalah kemunculan secara berani Golongan Syiah dan Khawarij serta perpecahan berlaku dikalangan umat islam.Syiah dengan akidahnya yang bertentangan,khawarij dengan fiqh yang sonsang dan berbagai lagi.Namun Alhamdulilah,disebalik semua ini umat islam bangkit dengan menubuhkan lembaga-lembaga hadis bagi menjaga ketulenan dan keutamaan hadis dari tangan-tangan kotor yang ingin merosakkan sumber islam yang kedua ini.Diantara lembaga hadis yang tertubuh adalah lembaga hadis Makkah yang ditubuhkan oleh para sahabat yang masih hidup yang dipimpin oleh Abdullah ibn Abbas dengan kerjasama sahabat-sahabat yang masih ada.Kemudian lembaga hadis Madinah yang dipimpin oleh Zaid bin Tsabit (wafat 45H) dan para sahabat yang lain.Seterusnya lembaga hadis kufah dippimpin oleh Abdullah ibnu Masud,lembaga hadis Syam pula diketuai oleh Ubadah ibn Shamit seorang sahabat yang menghafal seluruh Quran,ahli dalam bidang Feqh dan sangat komited dalam menegakkan kebenaran sehinggakan menurut riwayat beliau kerap kali menyanggah perbuatan Mu’awiyah yang tidak selari menurut batas-batas agama.Dan Lembaga Hadis Mesir yang diketuai oleh Abdullah ibn Amr ibn Asb seorang sahabat yang menerima banyak hadis dari Nabi dan sahabat dan menulis hadis-hadis yang diddengarinya.Selain menubuhkan lembaga-lembaga hadis,pada ketika itu juga ramai para ulama berkelana di keseluruh tempat bagi memperolehi hadis dari para sahabat ,tabien,menyemak hadis yang dihafal Disamping itu para ulama mula menekankan kepentingan mengetahui status perawi hadis sama ada lemah daya ingatan, tidak dipercaya dan sabagainya.Selain untuk menambahkan ilmu pengetahuan dan saling bertukar-tukar pendapat dan sebagainya.

· Zaman keempat ialah sejak dari bermulanya abad ke-2 Hijrah hinggalah akhir abad ke-2 Hijrah.Zaman ini dinamakan dengan nama “asrulkitabati wat tadwien”.Zaman ini jugalah baru hadis-hadis nabi diusahakan untuk dibukukan,antaranya usaha yang dijalankan oleh Khalifah umar ibnu Aziz di penghujung tahun 100H.[Namun beberapa riwayat mengatakan usaha untuk membukukan hadis sudah dimulakan lagi ketika di Zaman Khalifah Bani Umaiyah tapi tidak berapa sempurna,oleh itu ketika kepimpinan di zaman Bani Abasiah barulah sempurna usaha-usaha tersebut]..Beliau menulis surat kepada Gabenor yang juga Hakim di Madinah iaitu Abu Bakar ibn Hazm untuk membukukan hadis yang ada pada Amrah binti Abdur Rahman al-Anshari dan Al-Qasim ibn Muhamad ibn Abu Bakar, serta menghantar surat kepada seluruh Gabenar di kota-kota besar agar mengumpul hadis yang ada pada para ulama ketika itu untuk kegunaannya.Dizaman ini jugalah muncul ilmu Tajieh dan ta’diel,dan untuk mengkritik dan menilai rijalulhadis muncullah 2 orang hafiz besar iaitu Yahya Ibnu Saad Al-Qaththan (meninggal 189H) dan Abdur Rahman ibnu Mahdi(meninggal 198H).Para ulama memberi kepercayaan kepada 2 tokoh ini,menurut mereka jika sesiapa yang dipandang tsiqah(percaya dan adil) oleh 2 orang tokoh ini maka diterima riwayat dari orang tersebut,jika sebaliknya maka ditolak riwayatnya.Dan kitab hadis yang terhebat pada ketika itu adalah Al-Muwatha’ yang disusun oleh Imam Malik ada yang berkata bahawa kitab ini diusahakan selama 40 tahun.Menurut Ibnu Hubab pada awalnya hadis yang terdapat dalam muwatha’ adalah 10 ribu hadis ,namun Imam Malik membetulkan hadis-hadis tesebut sehinggalah tertinggal 500 hadis sahaja.Kemasyuran Al-Muwatha’ dikatakan sehingga menyebabkan Seorang Khalifah Bani Abasiyah mahu mengantungkan Kitab tersebut di dinding kaabah dan mengharuskan umat islam mengikutnya namun Imam Malik menolak cadangan tersebut dan tidak membenarkan ia diperbuat begitu kerana beliau mengingatkan bahawa Rasul sendiri berbeza pendapat dengan para sahabat dalam bidang Furu’.

· Zaman ke lima ialah dari awal abad ke-3 Hijrah sehinnga Akhir abad ke-3 Hijrah.Zaman ini dinamakan dengan nama “Asrut tajridi wat tashihi wat tanqihi”.Pada zaman ini bermulalah perselisihan faham antara ahli hadis dan Ahli Kalam yang menetapkan dasar-dasar agama seluruhnya dan akidah berdasarkan akal semata-mata.Ia bertambah rancak apabila seorang tokoh di Basrah iaitu Washil bin Atha’ (anak murid Hasanul basri)meninggalkan majlis ilmu yang disampaikan oleh Hasan Al-Basri dan menetapkan dasar-dasar lain yang tidak sesuai dengan Mazhab Hasanul Basri serta para ulama salaf yang lain.Dan pengikut-pengikut Washil dinisbahkan sebagai Golongan Muktazilah,dinamakan muktazilah kerana Washil mengasingkan diri dari majlis ilmu gurunya iaitu Hasan Al-Basri.Antara kesalahan besar Golongan Muktazilah adalah mengatakan bahawa Al-Quran itu adalah Makhluk bukannya Kalam Allah.Dan pada ketika ini juga usaha pembukuan hadis diteruskan oleh para ulama,antara kitab yang masyhur pada ketika itu adalah: musnad Ahmad,tawilu mukhtsfili hadis,sahih Bukhari,Sahih Muslim,Sunan Nasai’,Sunan Abu Daud,At-Tirmidzi dan Sunan Ibnu Majah.

· Zaman keenam ialah dari permulaan abad ke-4 H hinggalah kepada masa jatuhnya kota Baghdad pada tahun 565 H.Zaman ini dinamakan “asrut tabzibi wat tartibi wal istidraki wat takhriji wal bahtsi ‘aniz zawaid”.Zaman ini bermulalah masa penelitian,penerbitan dan pengumpulan hadis-hadis yang khusus.Menurut riwayat sejarah yang sahih abad ini(111H) [M.Hasbi Ash-Shidique dalam karyanya sejarah hadis dan pengaruh tokoh-tokoh utama dalam hadis zaman] adalah abad yang paling gilang gemilang bagi perkembangan hadis.Dalam abad ini lahirlah tokog-tokoh hadis yang terkenal dan imam-imam riwayat.Dalam abad ini juga lahirlah kitab enam(sahih bukhari,muslim,Muwatha’,Nasai,Abu Daud, dan Tirmidzi) yang mengumpul segala hadis yang sahih,sejarah perawi dan kedudukan mereka dalam bidang jarah dan ta’dil.Antara tokohnya ialah Al-Hakim,Daraquthni,Ibnu Hiban,At-Thabarani,Qasim ibnu Asbagh,Ibnu Sakan dan ath-Thahawi.Selain itu pada zaman ini pelbagai usaha dilakukan bagi memperkembangkan ilmu hadis ini,antaranya ,mengumpul hadis-hadis yang terdapat dalam pelbagai kitab,mengumpulkan hadis hokum(iaitu kitab Muntaqal Akhbar oleh Ibnu Taimiyah kemudiannya disyarahkan oleh Asyaukani dalam kitab Nail Authar,Kitab As-sunanul Kubra oleh Al-Baihaqi Ahmad Ibnu Husain dan juga al-Baihaqi mempunyai sebuah kitab lagi iaitu sunanul Sughra,Kitab Al-Ahkamusi Sughra dan kitab Amdatul Ahkam oleh Abdul Ghani ibnu Abdul Wahid.Selain itu mengumpulkan juga hadis-hadis mauidhah(tarhib wa targhib) dan juga menyusun kitab-kitab athraf.

· Zaman ketujuh .Zaman sejak 656 H sampai sekarang. Zaman ini dinamakan dengan nama “'Ashmsy syarhi wal jam'il 'am wat takhriji wal bahti 'za zawaid”.ZAman ini adalah zaman yang terakhir dalam perkembagan hadis,pada masa ini usaha mensyarah,mengumpul hadis yang umum,mentakhrij dan membahaskan hadis tambahan berlaku dengan rancak dikota-kota islam.Pada zaman ini jugalah lahirlah seorang penghulu hafiz hadis iaitu penulis kitab Fathul Bari Al-Hafiz Abul Fadlli Ahmad ibn Ali ibn Muhammad ibnu Ali Ibn Hajar Al-Asqolani(meninggal 825 H).Pada ketika ini jugalah banyak sekolah,Universiti dan madrasah-madrasah hadis dibina oleh pemerintah yang ketika itu diperintah oleh Daulat Mamalik Bahriah dan Daulat Mamalik Burjiah.Dan ada Pemerintah yang menjadi hafis hadis iaitu Adh-Zahir .Dan pada ketika ini juga setelah kemorosotan dan kejatuhan Daulat Mamalik di Mesir ia menjadi titik tolak kemunculan cahaya ilmiah di Negara India.Selain itu gerakan ilmiah terutama dalam bidang hadis juga giat dijalankan di Arab Saudi.Pelbagai usaha dijalankan antaranya Raja Abdul Aziz mengeluarkan belanja untuk mencetak kitab-kitab hadis yang mempunyai kedudukan yang penting dalam perkembangan perpustakaan Islam.Pada ketika ini juga muncul ulama-ulama penghafal hadis mentakhrij hadis-hadis dalam semua kitab-kitab dan menerangkan sumber-sumbernya.Disamping itu ada juga para ulama mensyarahkan dam memukhtasarkan kitab-kitab besar dalam usaha untuk memudahkan para pembaca untuk memahaminya.

Maka setelah kita mengetahui bagaimana hadis Rasulullah S.A.W itu dipelihara dan disimpan kekal sehingga kini tanpa sebarang perubahan dilakukan. Oleh itu dapatlah disimpulkan disini, Islam dan rekod itu adalah saling berkesinambungan dan oleh itu kita sebagai umat Islam dan juga sebagai pewaris Islam di muka bumi ini, haruslah menghayati akan kepentingan rekod dalam kehidupan seharian kita, tanpa pengurusan rekod yang efektif, segala yang bernilai tidak akan dapat dipelihara dan tidak dapat dijadikan sebagai bukti apabila timbulnya keraguan tentang keaslian dokumen itu sendiri.


Sumber
M.Hasbi Ash-Shiduque dalam karyannya berjudul " Sejarah Hadis dan pengaruh tokoh-tokoh utama dalam hadis"
Sejarah tamadun Islam

1 comment:

  1. I have never seen Archive in this perspective. Masha Allah, thank you for this!

    ReplyDelete