Sunday, November 15, 2009

Islam dan Rekod : Kelantan Lancar Sistem Data Rekod Perkahwinan, e-Nikah

oleh Utusan Malaysia

KOTA BHARU 26 Ogos – Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra hari ini berkenan melancarkan sistem e-Nikah iaitu sistem pengurusan rekod perkahwinan orang Islam secara elektronik.Selain salah satu usaha memartabatkan pengurusan Islam di negeri itu, e-Nikah juga membolehkan tahap perkhidmatan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) dipertingkatkan.

Ia juga dijangka dapat mengatasi kelemahan sistem fail secara konvensional yang diamalkan kini.Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika berucap pada majlis tersebut berkata, e-Nikah dibangunkan menggunakan kaedah antaramuka web yang hanya memerlukan sambungan ke Internet bagi membolehkan seseorang menggunakan sistem itu.

Katanya, ia mengandungi sekurang-kurangnya tujuh modul yang utama iaitu modul pra per perkahwinan, modul benar nikah, modul pendaftaran perkahwinan, modul pendaftaran perceraian, modul pendaftaran rujuk, modul pengeluaran kad nikah dan modul carian dan pengesahan.

‘‘Modul yang masih dalam pembinaan adalah seperti modul Informasi Keluarga Islam (IKIS) yang akan disiapkan dalam masa terdekat ini.

‘‘Modul ini boleh menyimpan maklumat satu-satu keluarga secara terperinci dan mungkin suatu masa nanti pengguna boleh mendapatkan salasilah sesuatu keluarga dengan mudah berdasarkan maklumat berkenaan,” katanya.Nik Abdul Aziz berkata, kesemua modul yang dibangunkan itu adalah mengikut prosedur yang diguna pakai berdasarkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002.

‘‘Antara kelainan sistem ini adalah penggunaan tulisan jawi yang digunapakai khususnya dalam pengeluaran surat kebenaran dan sijil-sijil,” tambahnya.Katanya, dengan menggunakan kaedah penukaran automatik dan manual, ia sedikit sebanyak memudahkan dan mencepatkan proses memasukkan data.

Justeru, beliau berharap kejayaan itu adalah suatu permulaan kepada perubahan yang boleh dikongsi antara agensi berkaitan dan sentiasa menerima penambahbaikan demi kecemerlangan pengurusan Islam yang cekap dan berkualiti.

Sumber
Utusan Malaysia - 27 Ogos 2007

No comments:

Post a Comment